Industri lega kerajaan tambah kuota solar NEM Rakyat

Industri lega kerajaan tambah kuota solar NEM Rakyat

elektrik
Para pemain industri solar lega apabila kerajaan mengumumkan penambahan kuota sebanyak 50 megawatt (MW) untuk NEM Rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Para pemain industri solar di negara ini lega apabila kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengumumkan penambahan kuota sebanyak 50 megawatt (MW) untuk program permeteran tenaga bersih (NEM) bagi kategori NEM Rakyat.

Menurut mereka, pengumuman kerajaan itu penting dalam memastikan kesinambungan kepada program peralihan tenaga dalam kalangan rakyat termasuk membantu mereka menjimatkan perbelanjaan bil tenaga mereka.

enegem
Ir Guntor Tobeng

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir Guntor Tobeng berkata, pihak industri amat berterima kasih kepada kerajaan terutama PETRA melalui Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Kementerian yang bertindak proaktif bagi memastikan program NEM Rakyat berterusan.

Katanya, sebelum ini kerajaan telah pun mengumumkan kuota NEM rakyat sebanyak 350 MW sehingga 31 Disember ini.

“Bagaimanapun ia sudah habis dilanggan pada 11 September menyebabkan pihak industri berhadapan dengan masalah untuk memenuhi tempahan yang sudah dilakukan oleh pelanggan.

“Bagaimanapun kami berterima kasih kepada kerajaan  terutama menteri PETRA dan Ketua Setiausaha Kementerian kerana bertindak pantas menambah kuota ini dalam tempoh sekitar seminggu sahaja.

“Jika sebelum ini kami mungkin terpaksa menunggu setahun untuk penambahan kuota,” katanya Guntor dalam satu kenyataam.

Program NEM diperkenalkan oleh kerajaan pada  2016 dengan peruntukan kuota 500 MW sehingga tahun 2020 untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu di Malaysia. 

Konsepnya ialah tenaga yang dihasilkan daripada pemasangan PV solar akan digunakan terlebih dahulu, dan sebarang lebihan akan dieksport ke TNB pada kos anjakan semasa.

Untuk menggalakkan pengambilan NEM ini, NEM 2.0 telah diperkenalkan pada 1 Januari 2019, dan konsep pemeteran tenaga bersih yang sebenar telah diterima pakai, membolehkan lebihan tenaga PV solar dijana dieksport kembali ke grid pada asas offset “satu-satu”. 

Skim ini telah dilaksanakan oleh kementerian PETRA, dikawal oleh Suruhanjaya Tenaga (EC), dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia sebagai Agensi Pelaksana (IA). 

Kuota 500MW di bawah NEM 2.0 telah dilanggan sepenuhnya pada 31 Disember 2020.

Kerajaan kemudiannya mengumumkan NEM 3.0 sebanyak 1,550 MW yang terbahagi kepada tiga iaitu NEM Nova (untuk komersial) 1,100 MW, NEM Gomen (untuk bangunan kerajaan) 100 MW dan NEM Rakyat (untuk domestik) 350 MW.

Bagaimanapun NEM Rakyat telah habis dilanggan pada minggu lalu walaupun tempoh akhirnya adalah paa 31 Disember ini.

Sehubungan itu hari ini SEDA telah mengumumkan tawaran kuota tambahan 50 MW untuk program NEM Rakyat bermula dari 20 September 2024 hingga 31 Disember 2024 atau sehingga kuota diperuntukkan sepenuhnya, yang mana terdahulu.

Pengumuman ini kata Guntor akan membolehkan pihak industri memenuhi permintaan pelanggan terutama yang telah membuat tempahan dan pada masa sama dapat mengekalkan tenaga kerja yang terlibat dengan pemasangan solar fotovoltaik untuk kegunaan domestik.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN