Industri halal Malaysia tarik minat Russia

Industri halal Malaysia tarik minat Russia

ANWAR Ibrahim ketika bertemu Rushan Hazrat Abbyasof membincangkan sistem perbankan Islam, latihan serta pembangunan keupayaan antara yang turut disentuh selain pertukaran kepakaran dan kerjasama pelbagai institusi di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia di kedudukan terbaik dalam memenuhi minat mendalam Russia di sektor halal susulan industri berkenaan yang terus berkembang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang disentuh dalam pertemuan dengan Timbalan Pengerusi Majlis Mufti Russia, Rushan Hazrat Abbyasof, hari ini.

Menurut beliau, sistem perbankan Islam, latihan serta pembangunan keupayaan antara yang turut disentuh selain pertukaran kepakaran dan kerjasama pelbagai institusi di Malaysia.

Katanya, ia membabitkan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muzium Kesenian Islam, Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi lain lagi.

“Industri halal yang terus berkembang lantas meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik dalam memenuhi minat mendalam Russia di sektor ini.

“Nilai yang dikongsi secara bersama ini akan pastinya memanfaatkan, tidak hanya warga Muslim, tetapi negara secara keseluruhannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau dan Rushan turut menekankan kepentingan memupuk nilai dan institusi kekeluargaan selain tumpuan diberikan secukupnya dalam membangun masyarakat dengan nilai dan etika di samping berusaha melonjakkan negara ke tahap membanggakan.

“Justeru, pendekatan yang sama juga diambil di Malaysia tatkala kita mengenengahkan Malaysia Madani dalam menggapai maksud dan objektif tersebut.

“Kunjungan ke Russia kali ini ternyata mengujakan tatkala terpacul pelbagai peluang nyata yang mampu dimanfaatkan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, pertemuan dengan Rushan merupakan satu peringatan untuk terus mengeratkan hubungan hubungan warga muslim di kedua-dua negara.

“Russia mempunyai seramai 25 juta warga muslim, yang tentunya lebih besar jumlahnya ketimbang Malaysia.

“Lantaran itu, ini mesti menjadi alasan yang kukuh betapa hubungan yang lebih erat perlu direncana dan diusahakan,” katanya.

Dalam pada itu, Rushan dilapor menzahirkan rasa kagum selain menyifatkan Malaysia ini sebuah negara Islam yang sangat maju dan terdapat banyak perkara yang perlu dipelajari daripada Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya