Industri buluh dunia diunjur naik sehingga RM408 bilion pada 2028 - Utusan Malaysia

Industri buluh dunia diunjur naik sehingga RM408 bilion pada 2028

Industri buluh
JOHARI Abdul Ghani melihat produk kraf tangan yang dihasilkan daripada buluh pada sambutan Hari Buluh Sedunia Malaysia 2024, di Kuala Langat, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Malaysia perlu meneroka sektor perladangan buluh berikutan nilai pasaran dunia industri tersebut berjumlah kira-kira RM290 bilion pada tahun lalu dan dijangka berkembang sehingga RM408 bilion pada 2028.

Sektor tersebut diunjurkan berkembang pada kadar 7 peratus setiap tahun dan kini dipelopori negara-negara Eropah, China dan Filipina yang mempunyai ekosistem tersendiri bagi penghasilan buluh.

Berdasarkan laporan International Bamboo and Rattan Organisation (INBAR) pada 2021, nilai eksport buluh China dianggarkan berjumlah USD2.6 billion (RM10.7 bilion) dan industri itu berkembang lebih 3 kali ganda berbanding dengan tahun 1950.

Sementara negara pula mempunyai defisit yang tinggi dalam pengeluaran buluh apabila mengeksport produk tersebut pada kadar RM20.1 juta pada tahun lalu, namun mengimport RM108 juta bagi keperluan tempatan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, industri perkayuan merupakan eksport komoditi ketiga terbesar negara selepas sawit dan getah dengan merekodkan pendapatannya sebanyak RM21.8 bilion pada tahun lalu.

“Bagi menjamin kelangsungan dan mengatasi isu kekurangan bahan mentah yang dihadapi oleh industri perkayuan, buluh diperkenalkan sebagai sumber alternatif, buluh juga menjadi pilihan disebabkan ciri-ciri kemampanan tumbuhan itu berbanding pokok lain.

“Buluh mempunyai nilai yang tinggi untuk pelbagai kegunaan termasuk tenaga boleh diperbaharui. Daripada kira-kira 1,600 spesies buluh yang terdapat di dunia, Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh di mana 45 daripada spesies tersebut adalah spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi dalam hutan,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Buluh Sedunia Malaysia 2024, hari ini.

Jelasnya, buluh mempunyai kadar penyerapan karbon dioksida yang tinggi iaitu lebih 40 peratus serta pelepasan oksigen lebih 35 peratus berbanding tanaman lain selain meningkatkan kualiti tanah dan sangat sesuai untuk dijadikan tanaman di kawasan kediaman.

“Maksudnya kalau 100 hektar apa-apa sahaja tanaman dan banding dengan buluh, kalau mereka pun boleh buat tanaman-tanaman yang menambah oksigen, tetapi kalau buluh, satu hektar ada tambahan 35 peratus. Dari segi penyerapan karbon dioksida, buluh 40 peratus boleh serap, sebab itu rasa sejuk,” ujarnya.

Dalam pada itu, Johari menyasarkan penanaman buluh berskala besar dengan menebus guna kira-kira 420,000 hektar ladang getah yang dikesan terbiar akibat tidak lagi diusahakan oleh pemilik-pemiliknya.

“Kalau skala besar, nilainya tinggi sebab satu hektar boleh keluarkan kira-kira 60 tan, kalau satu tan bila jadi produk katakan harganya RM2,000 atau RM1,500, itulah nilai bagi sehektar.

“Jadi, itu yang kita hendak tengok, bergantung kepada kualiti buluh, saiz yang kita tanam (skala besar). Tetapi secara kasarnya, satu hektar boleh dapat kira-kira 60 tan buluh yang boleh jadi produk dan dieksport ke luar negara,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau menggesa Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi melaksanakan penyelidikan dan pembangunan terhadap industri buluh negara untuk dikembangkan kerana nilai pasaran tempatannya juga amat tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN