IPOH: Hasrat beregu lelaki negara untuk muncul juara pada Cabaran Badminton Antarabangsa Petronas Malaysia 2024 yang berakhir di Ipoh di Arena Badminton di sini semalam tidak kesampaian.
Ini berikutan kekalahan gandingan Lim Tze Jan-Wong Tien Ci dalam aksi final.
Pasangan yang menyingkir pilihan utama kejohanan itu gagal mengulangi persembahan mereka apabila tumpas kepada gandingan Filipina, Solomon Jr Padiz-Julius Villabrille.
Bermula dengan cemerlang apabila menang set pertama 21-14 tetapi pasangan negara itu gagal mengekalkan rentak hingga tumpas 21-23 dan 16-21 pada set kedua dan ketiga.
Jepun menyapu bersih acara perseorangan apabila Minoru Koga muncul juara perseorangan lelaki manakala Riko Gunji perseorangan wanita.
Koga, pilihan ke-16 mengatasi pilihan kelima, Riku Hatano 21-19, 15-21, 21-11 dalam perlawanan selama 74 minit.
Manakala Gunji, pilihan utama perseorangan wanita mengambil masa 64 minit untuk menyingkir pilihan kedua dari Indonesia, Ruzana Ruzana 19-21, 21-15, 21-11.
Jepun juga meraih gelaran beregu wanita melalui Naru Shinoya-Nao Yamakita yang mengatasi rakan senegara, Hinata Suzuki-An Eusugi 21-13, 12-21, 21-17.
Gelaran juara beregu campuran dimenangi pasangan Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah yang mengatasi rakan senegara, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil 22-24,21-11,21-19. – UTUSAN