Imigresen tahan lapan PATI - Utusan Malaysia

Imigresen tahan lapan PATI

ANGGOTA Imigresen memeriksa dokumen PATI yang ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Kutip di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Ops Sapu dan Ops Kutip di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Timbalan Pengarah JIM Terengganu (Kawalan), Mat Amin Hassan berkata, kesemua PATI terbabit ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Mat Amin menjelaskan, mereka terdiri daripada tujuh individu warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara Pakistan yang berusia antara 16 sehingga 42 tahun.

“Operasi berkala ini dijalankan ekoran kebanjiran warga asing yang di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sehingga menimbulkan keresahan orang awam.

“Menerusi operasi ini, turut diperiksa adalah beberapa tapak pembinaan dan premis perniagaan di sekitar bandaraya kerana disyaki menggaji pekerja warga asing secara haram.

“Oleh itu JIM negeri telah melakukan pemeriksaan bagi memastikan kesemua warga asing yang berada di Terengganu mematuhi undang-undang dan peraturan imigresen.

“Dalam operasi selama sembilan jam ini, 47 warga asing diperiksa dan lapan daripada mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah Mat Amin, kesemua PATI yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Selain itu menurut beliau, JIM Terengganu turut memanggil seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an untuk memberi keterangan kerana melindungi dan menggaji PATI.

“Orang ramai boleh melaporkan keberadaan warga asing disyaki melanggar peraturan untuk disiasat dan JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melindungi PATI,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya