Ibu tunggal, kekasih dera anak dipenjara dua tahun - Utusan Malaysia

Ibu tunggal, kekasih dera anak dipenjara dua tahun

MOHAMAD Amir Rosdi dan Nor Azila Ardi dikawal anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen, Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Perbuatan seorang ibu tunggal dan teman lelakinya mendera anak kandung perempuan sendiri sejak bulan lalu menerima pembalasan apabila dipenjara selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Selain itu, tertuduh, Nor Arzilla Ardi, 32, dan Mohamad Amir Rosdi, 26, turut dikenakan bon berkelakukan baik selama dua tahun selepas hukuman berjalan.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan bersama dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pasangan kekasih yang masing-masing berpakaian lokap jingga dan ungu itu hanya kelihatan sugul dan turut mengakui semua fakta kes dikemukakan pendakwaan.

Nurul Mardhiah dalam penghakimannya berkata, kesalahan tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Justeru, kedua-kedua kamu (tertuduh) dijatuhi hukuman penjara 24 bulan bermula daripada tarikh tangkapan. Mahkamah turut memerintahkan kamu supaya menyempurnakan bon berkelakuan baik selama dua tahun,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan masing-masing pembantu peniaga dan bekerja sendiri didakwa melakukan penganiayaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Penganiayaan itu dengan cara memukul, mencubit, memijak dan menyiram air panas pada tubuh mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Desiran Malawati di sini, antara 13 Ogos hingga 4 September lalu.

Justeru, mereka melakukan kesalaha mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan hukuman, tertuduh perlu menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik apa-apa tempoh dan melakukan khidmat masyarakat.

Jika gagal mematuhi syarat bon itu, hukuman denda tidak lebih RM10,000 akan dikenakan ke atas tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor mangsa dan orang awam.

“Mangsa yang hanya seorang kanak-kanak sepatutnya dilindungi oleh tertuduh iaitu ibu kandungnya yang jelas tidak menjalankan amanah itu dengan baik.

“Selain itu, mangsa akan mengalami trauma dan kesan psikologi berpanjangan. Justeru, hukuman setimpal amat perlu bukan saja pengajaran kepada tertuduh malah orang awam supaya tidak mendera kanak-kanak,” katanya.

Nor Arzilla dan Mohamad Amir yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan adik beradik.

Terdahulu, pasangan itu tiba di mahkamah berkenaan secara berasingan dengan menaiki kenderaan polis pada pukul 8.40 dan 9.35 pagi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai diseksa dengan cara dicubit, ditumbuk dan disiram dengan air panas oleh ibu kandungnya dan kekasih wanita itu.

Perbuatan tidak berperikemanusian pasangan itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kepada nenek­nya yang kemudian memaklumkan kepada bapa kandung berusia 28 tahun.

Perkara itu membawa kepada penahanan ibu kandung mangsa pada 4 September lalu di rumahnya di sekitar Kuala Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya