IPOH: Kematian suami akibat kanser paru-paru pada 1998 menjadi detik hitam buat Rohani Tandaik yang buntu dan tidak pasti tentang masa depan bagi membesarkan lapan orang anak.
Namun setelah 26 tahun berlalu, dia yang kini berusia 65 tahun berjaya menempuh onak dan duri kehidupan apabila dapat melihat semua anaknya membesar dengan baik.
Menceritakan pengalamannya, dia yang bekerja sebagai pembantu tadbir kesetiausahaan dalam sektor awam terpaksa mengambil upah kerja-kerja sampingan seperti tempahan kuih raya, menyiapkan hantaran perkahwinan dan menjahit langsir.
“Pahit getir membesarkan anak itu dilalui. Walaupun ada pendapatan tetap sebagai penjawat awam, memandangkan bilangan anak yang ramai, keperluan menjadi besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Negeri Perak Darul Ridzuan tahun 1446H/2024M di sini semalam.
Wanita itu menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan hadiah iringan bayaran umrah RM9,000 selain plak dan sijil.
KEMATIAN SUAMI
Sewaktu kehilangan suami, Rohani berusia 39 tahun bersama anaknya yang sulung berumur 18 tahun dan bongsu tiga tahun.
Dia membesarkan lima orang anak perempuan serta tiga lelaki di Kampung Tersusun Batu 2 Tambahan di Jalan Bidor yang terletak antara pekan Tapah dan Bidor.
Jelasnya, oleh kerana perlu juga memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa, pada 2008 ibu tunggal itu mengambil pilihan untuk bersara awal membolehkan dirinya mengatasi kekangan masa menguruskan anak bersekolah dan memasuki universiti.
“Saya hadapi dengan sabar serta berbincang dengan anak-anak. Anak memahami keadaan hidup tanpa bapa. Saya nasihatkan supaya tidak timbulkan apa-apa masalah dan belajar dengan baik.
“Saya selalu ingatkan anak-anak yang arwah bapa mahu melihat mereka berjaya. Rakan sekerja dan kawan-kawan juga memberi dorongan dan semangat,” katanya yang kini mempunyai 17 orang cucu.
Sultan Nazrin juga berkenan menyampaikan enam lagi anugerah kepada penerima iaitu Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah); Anugerah Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Media); Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO); dan Anugerah Pegawai Masjid membabitkan tiga kategori ialau Tokoh Imam, Tokoh Bilal dan Tokoh Siak.
Sementara itu, Mua’ai Ribut, 71 tahun, yang bekerja sebagai penoreh getah melahirkan rasa syukur atas penerimaan Anugerah Pegawai Masjid (Tokoh Siak).
Dia mula menjadi siak pada 1 April 1991 di Masjid Kampung Menderang di Sungkai Perak menyatakan dirinya pada awalnya berasa berat untuk menerima peranan tersebut kerana tanggungjawab jawatan itu sangat besar.
“Pengerusi masjid pada ketika itu mahu melantik saya sebagai siak. Saya cakap saya cuba sebab tugas siak ini berat. Malah saya berpesan kepada dia bahawa jika ada yang tidak betul, saya sedia menerima teguran,” katanya. – UTUSAN