Ibu suspek kes serang Balai Polis Ulu Tiram didakwa berkaitan ideologi keganasan

Ibu suspek kes serang Balai Polis Ulu Tiram didakwa berkaitan ideologi keganasan

PADA 17 Mei lalu, seorang lelaki menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru dan membunuh dua pegawai polis dan mencederakan seorang lagi sebelum dia mati ditembak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu kepada suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan idelologi keganasan.

Rosna Jantan, 59, yang juga warganegara Singapura, didakwa dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan, di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, antara April 2017 dan 17 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan memaklumkan, tertuduh diwakili peguam ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, namun pihak pendakwaan diberitahu peguam berkenaan tidak dapat hadir hari ini kerana tidak menerima notis.

“Tertuduh sebelum ini dituduh bersama tertuduh lain dan kes tersebut ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi Jenayah 7 pada 23 Oktober ini.

“Pihak pendakwaan berhasrat untuk memindahkan kes tersebut di mahkamah ini. Justeru itu, kami mohon tarikh pengurusan kes supaya kes yang melibatkan tertuduh lain disebut terlebih dahulu,” katanya.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin kemudian menetapkan 12 November untuk pengurusan kes. Turut hadir Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Norinna Bahadun.

Pada 19 Jun lalu, Rosna, suami serta tiga anak mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan berkaitan keganasan.

Dalam kejadian tragis pada 17 Mei lalu dua anggota polis maut, manakala seorang lagi parah selepas ditembak dan ditetak seorang yang bertindak menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram.

Suspek iaitu lelaki yang memakai topeng dan berpakaian gelap menyerang balai polis tersebut dengan menggunakan parang dan bertindak mencederakan dua anggota polis yang sedang bertugas, sebelum merampas dua laras senjata api dan melepaskan dua das tembakan.

Tembakan itu mengenai salah seorang anggota polis menyebabkan anggota keselamatan itu cedera pada bahu dan perut.

Mangsa yang ditembak dikenal pasti sebagai Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, manakala anggota yang ditetak pula ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azha.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN