Ibu muda didakwa beri maklumat palsu kes kecurian wang - Utusan Malaysia

Ibu muda didakwa beri maklumat palsu kes kecurian wang

SEORANG ibu muda didakwa di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada anggota polis berkaitan kes kecurian wang berjumlah RM600, tiga minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang ibu muda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada anggota polis berkaitan kes kecurian wang berjumlah RM600, tiga minggu lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun 11 bulan itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.

Mengikut kertas pertuduhan, ibu kepada seorang anak perempuan berusia setahun itu didakwa telah memberi maklumat bertulis yang diketahui palsu kepada pegawai penyiasat berkaitan kecurian wang berjumlah RM600.

Perbuatan pekerja kedai makan itu telah menyebabkan bencana di mana anggota polis berkenaan menjalankan siasasatan terhadap rakan sekerjanya iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun yang dituduh mengambil wang RM600 milik pengadu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada pukul 12 tengah hari, 10 September 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 namun peguam, Faustina Francais dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya itu kini tidak bekerja dan mempunyai anak kecil berusia setahun.

Norhamizah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Beliau turut menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan akhlak tertuduh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, tertuduh yang dibawa keluar dari kamar mahkamah dengan diiringi anggota polis sekitar pukul 10.56 pagi dilihat menangis teresak-esak sambil menutup muka dengan tangan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN