Ibu muda, bayi 21 hari antara mangsa banjir di Perlis - Utusan Malaysia

Ibu muda, bayi 21 hari antara mangsa banjir di Perlis

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan (dua dari kanan) berbual bersama Asmini Hashim (berdiri, tiga dari kanan) yang dipindahkan ke PPS SK Arau, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang ibu yang sedang berpantang bersama bayi perempuannya berusia 21 hari berdepan detik cemas apabila rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Noor Masizwani Mustam, 24, bersama bayinya dibantu oleh Jabatan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Arau selepas kawasan rumah ibunya di Kampung Titi Besi, di sini, dinaiki air.

Menurut ibu Noor Masizwani, Asmini Hashim, 50, anak perempuan itu sedang berpantang di rumahnya selepas baharu sahaja melahirkan bayi sulung mereka pada 29 Ogos lepas.

“Sebelum melahirkan bayi, anak saya menetap di rumah mertua di Beseri dan kemudiannya dia memilih untuk berpantang di rumah saya di sini.

“Namun sejak beberapa hari lalu, hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan kediaman kami dinaiki air dan terpaksa berpindah ke PPS SK Arau,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menceritakan lebih lanjut, Asmini berkata, paras air di rumahnya itu mula naik sekitar pukul 4.30 pagi pada Isnin lalu namun keadaannya dilihat mula surut pada sebelah petang hari kejadian.

Katanya, bagaimanapun, keadaan hujan yang kembali lebat selepas itu membuatkan paras air berkenaan kembali meningkat sehinggakan anggota keselamatan memutuskan untuk memindahkan mereka sekitar pukul 12.30 tengah malam, semalam.

“Demi keselamatan dan keselesaan, kami mengambil keputusan untuk berpindah ke PPS ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Malah anak saya bersama cucu juga dapat berada dalam keadaan selesa di samping turut mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang disediakan di PPS ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir dari Kampung Titi Besi, Zaid Ahmad, 25, mereka sekeluarga sememangnya sudah bersedia menghadapi bencana banjir memandangkan kawasan itu mudah dinaiki air sekiranya hujan lebat berterusan sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, mereka juga sempat untuk mengalihkan barangan dan menyelamatkan dokumen penting susulan daripada situasi banjir tersebut.

“Air mula naik sekitar pukul 4.40 pagi semalam dan kami sekeluarga segera mengalihkan barangan dan turut berpindah ke PPS atas saranan pihak keselamatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya