KUALA SELANGOR: Seorang ibu yang disyaki mendera anak tunggal perempuannya berusia lima tahun serta lelaki yang juga kekasihnya pada Selasa lalu akan dihadapkan ke mahkamah esok.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, suspek tempatan berusia 32 dan 26 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, kira-kira pukul 9 pagi.
“Kertas siasatan kes penderaan kanak-kanak itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Shah Alam hari ini. Kedua-suspek akan didakwa di mahkamah pada pagi Selasa (esok),” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, melaporkan seorang kanak-kanak perempuan diseksa dipercayai sejak empat tahun lalu dengan cara dicubit, ditumbuk dan disiram dengan air panas oleh ibu kandungnya dan kekasih wanita itu.
Perbuatan tidak berperikemanusian pasangan itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kepada neneknya yang kemudian memaklumkan kepada bapa kandung berusia 28 tahun.
Perkara itu membawa kepada penahanan ibu kandung mangsa pada 4 September lalu di rumahnya di sekitar Kuala Selangor.
Keesokan harinya, teman lelaki wanita itu turut berjaya diberkas di sebuah rumah di Sik, Kedah, kira-kira pukul 4.30 petang.
Wanita itu tergamak mendera anak tunggalnya itu kerana dipercayai sering kali hilang pertimbangan akibat pengambilan dadah.
Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN