Ibu bertarung nyawa selamatkan empat anak dari rumah terbakar - Utusan Malaysia

Ibu bertarung nyawa selamatkan empat anak dari rumah terbakar

RUSMAN Harun menunjukkan ruang empat anaknya dibawa keluar oleh isteri ketika menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Kampung Che Bema, Sungai Layar dekat Sungai Petani terbakar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang ibu nekad memecahkan cermin di bahagian atas pintu jeriji rumah sebelum bertindak mengangkat empat anaknya keluar menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah di Kampung Che Bema, Sungai Layar di sini, malam tadi.

Menurut Hafizah Mohammad, 34, dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak mempunyai pilihan selepas tergamam kerana gagal mencari kunci untuk membuka pintu.

Menurut peniaga mihun sup itu, kejadian berlaku pada pukul 11 malam ketika dia bersama empat anak iaitu Arisa Rusman, 11, Azian, 7,  Yusuf,  4, dan Azhara Rania, 3, sedang tidur di bilik utama.

“Saya terhidu benda terbakar sebelum bingkas bangun dan berlari ke bilik yang terletak bersebelahan bilik utama dan sewaktu membuka pintu terkejut mendapati api sedang marak membakar perabot dan perkakas rumah.

“Dalam keadaan asap mula memenuhi rumah, saya berlari semula ke dalam bilik utama dan terus mengejutkan semua anak. Saya kemudian memecahkan cermin bahagian atas pintu jeriji sebelum mengangkat seorang demi seorang daripada mereka keluar,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dia terus meminta anak-anaknya memaklumkan kejadian kepada jiran.

“Dalam keadaan hampir pengsan kerana terhidu asap, saya cuba memecahkan pintu jeriji tetapi tidak berjaya sebelum jiran-jiran datang membantu memecahkan pintu jeriji dan membawa saya keluar.

“Saya bernasib baik kerana selepas berjaya keluar, api mula marak membakar keseluruhan rumah mengakibatkan kami tinggal sehelai sepinggang dan sekarang kami menumpang di rumah mentua di kampung sama yang terletak tidak jauh dari sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN