Ibu bapa Zayn Rayyan dakwa diugut supaya mengaku bersalah - Peguam - Utusan Malaysia

Ibu bapa Zayn Rayyan dakwa diugut supaya mengaku bersalah – Peguam

ZAIM Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi sebutan ke pengabaian anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masih menunggu hasil siasatan terhadap laporan polis yang dibuat mereka berhubung ugutan yang diterima ketika ditahan reman berkaitan kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili pasangan itu mendakwa, selain diugut, kedua-dua anak guamnya turut menghadapi pelbagai tekanan dan manipulasi dalam usaha mendapatkan pengakuan bersalah mereka.

Ujar beliau, laporan polis itu dibuat masing-masing pada 25 Julai lalu, selepas mereka dibebaskan daripada tahanan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu.

Menurut Fahmi, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Shah Alam dan Sungai Buloh namun hingga kini tiada maklumat yang diterima berkaitan perkembangan siasatan.

“Laporan terhadap siapa, kami tidak boleh dedahkan di sini kerana ia akan didedahkan pada perbicaraan nanti. Cuma kami harap siasatan dibuat bagi memastikan perkara (yang didakwa) itu selain untuk membersihkan nama anak guam kami.

“Hingga kini kedua-duanya tidak dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan. Laporan telah dibuat dan mereka juga telah mendedahkan nama pihak-pihak yang terlibat dalam isu ini,” ujar beliau ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini hari ini.

Terdahulu, ditetapkan prosiding sebutan kes Zaim Ikhwan dan Ismanira yang dituduh mengabaikan anak mereka di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Menyentuh mengenai perkembangan siasatan kandungan yang tular di Telegram Edisi Siasatan (ES), Fahmi berkata, pihaknya masih belum mendapat maklum balas berhubung kes berkenaan.

Beliau turut difahamkan bahawa polis telah mencadangkan kepada keluarga pasangan itu agar membawa isu berkenaan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika masih tiada tindakan polis berhubung ES.

“Kita bukan berdiam diri tapi masih menunggu maklum balas dari PDRM sama ada siasatan dibuat secara telus dan adil serta kesimpulan hasil siasatan dimaklumkan kelak,” ujar beliau.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN