Ibu bapa budak pandu kereta didakwa cuai

Ibu bapa budak pandu kereta hingga kemalangan didakwa cuai

SEBUAH kereta Toyota Corolla dipandu kanak-kanak berusia 10 tahun terbabas dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, Seremban, kelmarin.- IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ibu bapa kanak-kanak berusia 10 tahun yang bertindak memandu kereta milik keluarga sehingga terlibat kemalangan, akan didakwa atas kesalahan kecuaian menjaga anak.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, polis akan menahan ibu bapa kanak-kanak terbabit yang merupakan warga tempatan untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Akta itu menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, bapa kanak-kanak itu yang merupakan peniaga sedang uzur dan ketika kejadian, dia dan isterinya berada di hospital.

“Semasa kejadian ibu bapanya tiada di rumah kerana bapa sakit dan ibunya sering berulang-alik ke hospital untuk rawatan.

“Kami akan dakwa ibu bapa kanak-kanak ini atas kesalahan cuai kerana meninggalkan kunci kereta. Ibunya telah dipanggil untuk siasatan dan bapanya (akan dipanggil) selepas ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Mohamad Hatta, kanak-kanak 10 tahun itu pula disiasat atas kesalahan trafik di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 111 akta sama Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas Jalan 1959.

Terdahulu, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikesan memandu kereta Toyota Corolla milik ibu bapanya sehingga terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, di sini kelmarin.

Kereta itu terbabas semasa melalui selekoh dan berlanggar dengan sebuah van jenis Toyota yang diparkir di bahu kiri jalan.

Kemudian van tersebut telah menggelongsor ke hadapan dan terlanggar Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN