Ibu bapa bimbang pelajar tanpa UPSR, PT3 ibarat tiada hala tuju - Utusan Malaysia

Ibu bapa bimbang pelajar tanpa UPSR, PT3 ibarat tiada hala tuju

ZAINOL ABIDIN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ramai ibu bapa meminta agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dikembalikan kerana bimbang nasib anak mereka yang seolah-olah menjadi generasi tiada hala tuju pasca Covid-19.

Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, kedua-dua peperiksaan itu patut dikembalikan kerana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berbentuk peperiksaan masih wujud dan tidak dimansuhkan.

“Guru juga sudah merungut kesan daripada pemansuhan UPSR dan PT3, kerana murid-murid bersikap acuh tak acuh untuk belajar kerana mereka tidak ada sasaran.

“Apabila UPSR dimansuhkan, murid darjah enam kurang memberi penekanan untuk mempersiapkan diri menghadapi sekolah menengah. Begitu juga pelajar tingkatan tiga yang akan melangkah ke menengah atas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar tahun enam dan tingkatan tiga perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).

Beliau berkata, perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menyedari isu 3M adalah antara punca 10,177 pelajar tidak menduduki SPM tahun lalu.

Sementara itu, Zainol Abidin berkata, ibu bapa turut mengeluh tentang disiplin belajar anak-anak mereka yang tidak lagi seperti dahulu.

Malah ujarnya, terdapat anak-anak yang mempersoalkan mengapa mereka perlu belajar terlampau banyak sedangkan tidak ada lagi peperiksaan UPSR dan PT3 ketika ini.

“Selepas hampir dua tahun pemansuhan UPSR dan PT3, kini Timbalan Perdana Menteri sendiri menyarankan agar pihak KPM membuat kajian semula tentang pemansuhan ini. Saya amat berharap KPM kembalikan semula peperiksaan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya