PETALING JAYA: Huawei dan U Mobile akan mempromosikan penggunaan dan pengkomersialan X2B bagi mempercepatkan penggunaan 5G di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, X2B merupakan aplikasi, penyelesaian dan perkhidmatan pintar yang dikuasakan 5G kepada perniagaan di Malaysia.
Kata beliau, kedua-dua syarikat bekerjasama untuk menyediakan penyelesaian teknologi secara menyeluruh seperti rangkaian teras 5G perusahaan, pusat data dan infrastruktur awan untuk X2B dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan, peruncitan serta pertanian.
“Sebelum mengakhiri lawatan 3 hari yang singkat ke China, saya telah menyaksikan pemeteraian dua lagi memorandum persefahaman (MoU) melibatkan syarikat telekomunikasi, di Beijing,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata, ZTGE dan U Mobile memeterai MoU untuk mencipta aplikasi pertanian pintar.
“Kerjasama itu memberi tumpuan kepada penyediaan liputan mudah alih yang pantas dan berkesan bagi meningkatkan produktiviti operasi pertanian.
“Langkah ini pastinya menyokong transformasi digital Malaysia dalam sektor pertanian, termasuk penyelesaian untuk jentera autonomi dan pemeriksaan mesin,” katanya. – UTUSAN