HSR: Konsortium China-Malaysia dalam pertimbangan - Utusan Malaysia

HSR: Konsortium China-Malaysia dalam pertimbangan

GAMBAR hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah konsortium antara syarikat China dan Malaysia sedang dipertimbangkan untuk membangunkan syarikat Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, susulan perbincangan antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Presiden China Xi Jinping.

Perkara ini didedahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang menyertai rombongan Yang di-Pertuan Agong ke China minggu lalu.

Menurut laporan Sin Chew Daily Jumaat lalu, Kor Ming berkata, Xi Jinping menyuarakan minat yang besar terhadap penglibatan China dalam projek HSR tersebut.

Apabila ditanya jika ini termasuk pembiayaan dari China, menteri itu dilaporkan menjawab kerjasama antara syarikat milik negara, parti atau syarikat swasta China dengan syarikat swasta Malaysia merupakan satu kemungkinan.

“Jika syarikat-syarikat ini mempunyai kekuatan kewangan untuk melaksanakan projek HSR, baik Beijing mahupun Putrajaya akan mengalu-alukan konsortium sedemikian.

Butiran lanjut akan dibincangkan antara Kementerian Pengangkutan dan kerajaan China.

“Terdapat aspirasi agar HSR pada suatu hari nanti dapat menyambung perjalanan hingga ke Kunming, China dan mewujudkan “Jalan Sutera Baru”,” katanya.

Sebelum ini, laporan Bloomberg memetik sumber mendakwa Sultan Ibrahim sedang mencari pelabur untuk projek HSR semasa lawatannya ke China.

Sultan Ibrahim bertitah ingin melihat projek yang tertangguh itu menjadi realiti, dengan pelarasan semula laluan untuk melalui projek Forest City, di mana baginda juga mempunyai kepentingan.

Perjanjian dua hala HSR KL-Singapura telah ditandatangani pada 2016.

Pembinaannya ditangguhkan pada September 2018 di bawah kerajaan PH, yang meminta penangguhan sehingga akhir 2020.

Kemudian pada 2021, pentadbiran Muhyiddin Yassin yang mengambil alih pada Mac 2020, secara rasmi membatalkan perjanjian dengan Singapura selepas rundingan semasa pandemik Covid-19 menemui kegagalan.

Kerajaan Madani pula mengambil pendekatan agar projek HSR dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta tanpa memberi beban kewangan kepada Putrajaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya