Hospital UiTM terima pensijilan MSQH - Utusan Malaysia

Hospital UiTM terima pensijilan MSQH

Hospital UiTM
MUSTAPHA Sakmu menyerahkan pensijilan MSQH dan MQA bagi program MBBS 240 kepada Shahrin Sahib @ Sahibuddin pada Majlis Apresiasi Sempena Akreditasi Penuh MSQH dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan KRIS dekat HASA UiTM di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Hospital Al Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima pensijilan penuh akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) selama empat tahun pada Majlis Apresiasi Sempena Akreditasi Penuh MSQH dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), baru-baru ini.

HASA dalam kenyataannya berkata, pensijilan tersebut membolehkan hospital berkenaan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan selamat.

Menurutnya, HASA menjadi hospital pengajar universiti awam kedua di negara ini menerima pensijilan tersebut dan pertama berkonsepkan inisiatif pendanaan swasta (PFI) yang berjaya mendapat pengiktirafan dalam tempoh tiga tahun operasi.

“Proses akreditasi berlangsung dari 14 hingga 16 November 2023, dan pensijilan MSQH ini sah dari 26 April 2024 hingga 25 April 2028.

“Fakulti Perubatan turut diraikan dalam majlis ini atas kejayaan memperoleh akreditasi penuh oleh MQA bagi program Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS 240) bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2024 hingga 2029,” katanya.

Tambahnya, penyampaian kedua-dua akreditasi itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmu yang menyerahkannya kepada menyerahkannya kepada Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Menurut Shahrin, pengiktirafan itu turut menunjukkan komitmen UiTM untuk terus meningkatkan kualiti dan piawaian program perubatan yang ditawarkan, selari dengan hala tuju strategik yang digariskan dalam Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi 2023–2025.

“Kejayaan itu adalah selaras dengan Pelan Strategik UiTM 2025 yang memberi tumpuan kepada prestasi berorientasikan nilai dan tadbir urus yang berkesan.

“Sejak tahun 2008, Fakulti Perubatan menghasilkan lebih daripada 2,700 graduan perubatan cemerlang yang berkhidmat di dalam dan luar negara. Pencapaian dan komitmen itu akan terus diperhebatkan dalam usaha menjadi institusi “Globally renowned, locally rooted,” ujarnya.

Terdahulu, dalam majlis sama, Mustapha menyerahkan dua kenderaan iaitu Proton X90 dan Toyota Hilux kepada UiTM bagi Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS).

Tambahnya lagi, program itu bertujuan menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma kepada komuniti, selaras dengan misi sosial UiTM untuk menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya