SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan ke atas peserta program RXZ Members 6.0 yang didapati melanggar peraturan.
Notis saman akan dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang ingkar di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu pada esok dan Sabtu ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ Terengganu sudah pun mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur bagi pelaksanaan program selama dua hari itu termasuk menjelaskan aspek peraturan jalan raya yang perlu dipatuhi.
“Kami (JPJ) bukan sengaja mahu mencari kesalahan, namun mahu memastikan keselamatan orang awam sepanjang program itu berlangsung.
“Jika ada mereka yang dikesan melanggar peraturan jalan raya, tindakan akan diambil tanpa sebarang kompromi,” katanya ketika ditemui ketika melawat JPJ Selangor, hari ini.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan polis meningkatkan sekatan jalan raya (SJR) bagi memastikan kelancaran program itu yang dijangka dihadiri lebih 80,000 peserta.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin menegaskan SJR akan ditingkatkan di kawasan hotspot dan tindakan saman serta sita kenderaan boleh diambil jika ada peserta didapati melanggar peraturan ditetapkan.
Pihak berkuasa juga boleh membatalkan permit penganjuran jika terlalu banyak aduan atau memperketatkan syarat supaya penganjur terikat peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Penganjuran pada tahun lalu menimbulkan kontroversi apabila banyak motosikal peserta disita akibat ‘dipukat’ dalam SJR dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ atas pelbagai kesalahan.
Selain kesalahan lesen, cukai jalan dan insurans, tumpuan akan diberikan terhadap pematuhan cermin sisi, ekzos dan tayar motosikal.
Dalam pada itu, Aedy Fadly memaklumkan, pihaknya turut menjalinkan kerjasama erat dengan PDRM bagi mengawal keadaan sepanjang program tahunan itu.
“Kami menasihatkan semua pihak terutama peserta program mematuhi semua peraturan yang ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Perkara paling utama adalah memastikan keselamatan orang ramai terjamin dan kita mengambil tindakan berdasarkan aduan orang awam,” ujarnya. – UTUSAN