Himpunan RX-Z Members 6.0: Tempahan bilik hotel hampir penuh - Utusan Malaysia

Himpunan RX-Z Members 6.0: Tempahan bilik hotel hampir penuh

KIRA-KIRA 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan program Himpunan RX-Z Members 6.0 di Kuala Nerus bermula hari ini dan esok. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kadar tempahan bilik penginapan di 37 hotel yang bernaung di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu hampir penuh berikutan penganjuran program Himpunan RX-Z Members 6.0 yang bermula hari ini.

Pengerusinya, Suaibah Harun berkata, kesemua bilik hotel yang terletak di sekitar bandar raya Kuala Terengganu telah ditempah lebih 95 peratus sejak sebulan lalu oleh pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, faktor cuti persekolahan yang bermula semalam juga menyebabkan semua bilik penginapan pelbagai kategori hotel mendapat sambutan luar jangka.

“Di Primula Beach Hotel, semua bilik telah habis ditempah dan berdasarkan data yang MAH Terengganu perolehi, kebanyakan hotel yang lain juga mengalami situasi sama.

“Kami mengalu-alukan kedatangan semua pelancong dari luar dan memberi komitmen untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti sepanjang bercuti bersama rangkaian hotel MAH Terengganu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Himpunan RX-Z Member 6.0 yang mengumpulkan peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus selama dua hari bermula hari ini dan berakhir esok.

Ia adalah antara acara tahunan yang sentiasa dinantikan penggiat industri pelancongan termasuk operator hotel dan resort di Terengganu khususnya di Kuala Terengganu kerana kira-kira 100,000 pengunjung dijangka hadir ke program tersebut.

Mengulas lanjut, Suaibah berkata, ketika ini, terdapat 3,739 bilik penginapan di 37 hotel MAH Terengganu termasuk di pulau-pulau peranginan.

“Antara hotel yang berdaftar dengan MAH Terengganu ialah Primula Beach Hotel, Permai Hotel, Paya Bunga Hotel, Duyong Marina & Resort, The Grand Puteri Hotel, Am Transit Inn, Sumai Hotel Apartments dan Felda Residence Kuala Terengganu.

“Di pulau pelancongan pula, antara hotel dan resort naungan MAH Terengganu ialah Laguna Redang Island Resort, The Taaras Beach & Spa Resort, Pulau Redang dan Marriott Resort Perhentian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN