TUARAN: Hasrat pembangkang untuk kembali menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanyalah satu mimpi.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau yakin rakyat Sabah bijak menilai untuk memilih parti atau gabungan parti yang benar-benar mampu membawa Sabah ke arah kemajuan.
Beliau berkata, kritikan pembangkang terhadap kerajaan pimpinannya ketika ini sebagai tindakan yang sengaja ‘membutakan mata’ kerana enggan mengakui kesilapan mereka ketika menjadi kerajaan sebelum ini.
Hajiji yang juga Pengerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, isu yang dimainkan oleh pembangkang seperti masalah bekalan air dan jalan raya bukan perkara baharu. Masalah tersebut diwarisi daripada kerajaan sebelum ini susulan beberapa tindakan tidak wajar yang mereka lakukan.
“Ia termasuk menukar syarikat konsesi sedia ada dengan syarikat lantikan mereka hingga kerajaan terpaksa membayar ratusan juta pampasan berikutan penamatan konsesi syarikat sebelum ini.
“Mereka sudah diberi kepercayaan tapi, apa mereka buat dua tahun setengah memerintah?. Mereka bertindak membalas dendam dengan membatalkan kontrak yang dilulus kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Akibat pembatalan itu, kerajaan terpaksa membayar beratus juta kepada konsesi ini. Mereka lantik kontraktor baharu dan itulah jadi tidak ketentuan. Contohnya, isu air masin di Sandakan, itu kontraktor lantikan mereka,” katanya semasa Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman di Dewan Seri Sulaman, hari ini.
Menurutnya, dalam media sosial pembangkang menyatakan GRS gagal tapi, sebenarnya merekalah yang gagal dan semasa mereka bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka kalah.
Dalam pada itu, Hajiji menyatakan kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus sentiasa bersikap adil terhadap semua pihak termasuk pembangkang.
Malah katanya, beliau sendiri meluluskan permohonan pemimpin pembangkang yang memohon biasiswa kerajaan negeri untuk anak mereka atas dasar keprihatinan beliau terhadap anak-anak Sabah.
“Mohd. Azis Jamman punya permohonan biasiswa untuk anaknya pun saya luluskan..apa lagi yang kita tidak buat. Malah, ada juga anak pemimpin pembangkang lain yang mendapat kemudahan, kita bagi.
“Saya tidak sanggup (mengabaikannya). Kita tiada balas dendam, kita tidak tekan sesiapa walaupun kita adalah kerajaan,” katanya. – UTUSAN