Hasil negeri tidak gabung SG4 - Utusan Malaysia

Hasil negeri tidak gabung SG4

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) bergambar bersama peserta konvoi motosikal Kembara Terengganu Sejahteral sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hasil pendapatan empat kerajaan negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) atau SG4 tidak akan digabungkan dalam syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. yang baharu ditubuhkan, baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendapatan yang diperoleh di negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis adalah berbeza dengan hasil syarikat tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata, syarikat SG4 akan mencari pendapatan sendiri menerusi kluster-kluster yang disusun di empat negeri tersebut.

Malah, katanya, pembahagian pendapatan sebanyak 25 peratus daripada pemilikan saham dalam syarikat itu yang ditetapkan sebelum ini juga tidak melibatkan perolehan negeri berkenaan.

“Pembahagian (hasil) dari segi untung syarikat, bukan hasil negeri. Hasil negeri tertakluk pada negeri masing-masing. Hasil di Terengganu, Terengganulah menikmati hasil.

“Itu kena beza, (antara) operasi syarikat dengan operasi diterima negeri. Ia berbeza, saya rasa ramai orang keliru dengan bayangkan kita bahagikan hasil di Kedah dibahagikan dengan negeri lain, operasi syarikat adalah perkara berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada konvoi motosikal Kembara Terengganu Sejahteral sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, menerusi syarikat tersebut, setiap negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu akan memiliki saham dan ekuiti yang sama.

Menurutnya, syarlikat yang ditubuhkan itu memfokaskan lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik, perdagangan, pelaburan dan industri, pertanian dan sekuriti makanan, pendidikan dan modal insan dan sumber pendapatan baharu.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memberitahu, penubuhan syarikat itu bukan bertujuan mengejar keuntungan sebaliknya mengukuhan hubungan kerjasama empat negeri tersebut.

“Saya rasa paling penting bukan keuntungan (syarikat) yang dikejar. Yang kita mahu ialah ‘consolidation of bargain power’ dalam menjalankan apa-apa urusan,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas masa depan SG4 sekiranya berlaku perubahan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) nanti Ahmad Samsuri berkata, SG4 akan membuktikan potensi terlebih dahulu kerana masih mempunyai tempoh tiga tahun ini.

“Itu cerita panjang lagi. Kita ada tempoh dua tahun setengah (hingga) tiga tahun ini, kita membuktikan potensi dahulu. Cerita pilihan raya itu, kita tengok selepas pilihan raya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN