Hasil mesyuarat LEMM akan pengaruhi pasaran buruh antarabangsa

Hasil mesyuarat LEMM akan pengaruhi pasaran buruh antarabangsa

Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan BRICS (LEMM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan BRICS (LEMM) menekankan keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem keselamatan sosial yang lebih kukuh dan terangkum di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, perbincangan LEMM tepat pada masa kritikal.

Menurut beliau, banyak negara sedang menghadapi gangguan ekonomi dan perubahan teknologi yang melebarkan jurang pendapatan serta mencetuskan banyak situasi pekerjaan tidak menentu terutama dalam ekonomi tidak formal dan gig.

Oleh itu, jelasnya, penting untuk mewujudkan rangka kerja perlindungan sosial yang boleh disesuaikan serta mapan, khususnya bagi pekerja berisiko.

“Perbincangan di Sochi, Russia bukan hanya berkisar tentang dasar, tetapi juga penyelesaian konkrit yang boleh membentuk semula sistem perlindungan sosial agar lebih terangkum.

“Fokus untuk menyesuaikan semula sistem keselamatan sosial dilihat amat penting dalam ekonomi membangun, di mana jurang dalam perlindungan sering menyebabkan segmen besar penduduk tidak dilindungi,” katanya dalam kenyataan.

Mesyuarat yang diadakan selama dua hari mulai 9 September lalu di Sochi menghimpunkan menteri-menteri dan wakil-wakil utama dari negara-negara BRICS iaitu Brazil, Russia, India, China, dan Afrika Selatan.

Malah, buat pertama kalinya, kehadiran negara-negara anggota baharu pasca perluasan BRICS termasuk Mesir, Iran, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ethiopia, bertujuan bagi menangani cabaran utama dalam pasaran buruh serta perlindungan sosial.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman yang juga Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) berkata, perbincangan terarah kepada penyesuaian semula rangka kerja keselamatan sosial untuk menangani isu-isu pekerjaan yang tidak menentu, ketidaksaksamaan pendapatan dan perubahan bentuk pekerjaan.

“Hasil mesyuarat dijangka memberi kesan limpah ketara terhadap amalan buruh global, terutama di negara membangun yang sedang berusaha memperkukuh keupayaan institusi dan memperluaskan perlindungan kepada pekerja berisiko,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya