Hanya 7,334 suri rumah carum SKSSR - Utusan Malaysia

Hanya 7,334 suri rumah carum SKSSR

AHLI Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari (empat kiri) bersama Rak Boon Tan Rat menyampaikan bantuan Kotak Prihatin Perkeso kepada pencarum yang hilang keupayaan kekal akibat kemalangan sewaktu bekerja di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Bilangan suri rumah yang mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di negeri ini hanya 7,334 orang setakat ini.

Pengarah Perkeso Kedah, Rak Boon Tan Rat berkata, daripada jumlah itu sebanyak 6,301 pencarum merupakan tajaan kerajaan dan seramai 1,033 pencarum lagi merupakan suri rumah yang mencarum sendiri bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, cawangan Perkeso Sungai Petani merekodkan jumlah caruman tertinggi iaitu sebanyak 373 orang diikuti Perkeso Negeri Kedah sebanyak 367, Perkeso Kulim sebanyak 263 dan Perkeso Langkawi sebanyak 30 orang.

“Kalau boleh kita nak semua suri rumah mencarum SKSSR kerana walaupun pekerjaan mereka tidak formal tetapi mereka turut terdedah dengan bahaya dan bencana domestik di rumah selain risiko mendapat penyakit yang menjejaskan keupayaan dalam menguruskan rumah tangga.

“Oleh itu, pihak Perkeso telah menyediakan platform ini bagi membolehkan suri rumah menikmati faedah dan manfaat yang bersesuaian dengan kadar caruman sebanyak RM120 setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Perkeso bersama Pemimpin Masyarakat dan Seranta Peringkat Pejabat Perkeso Sungai Petani, di sini hari ini.

Jelasnya, pihak Perkeso masih berusaha untuk meningkatkan jumlah pencarum SKSSR dari masa ke masa termasuk melalui pendekatan mendapatkan penaja untuk caruman tersebut.

“Kita telah cuba mendekati pelbagai pihak untuk menaja bayaran caruman SKSSR termasuk Pejabat Parlimen Sungai Petani ini yang telah meluluskan tajaan caruman berjumlah RM12,000 kepada 100 suri rumah di parlimen itu bagi tempoh caruman selama setahun,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN