PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan meneruskan usaha untuk menghantar para pelajar dari negara ini bagi mengikuti ke program berprestij di peringkat antarabangsa untuk melatih mereka menjadi saintis muda.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, sejak tahun 2012, MOSTI menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) menghantar seramai 25 pelajar ke Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland untuk meningkatkan keupayaan saintifik negara serta mempromosikan kerjasama antarabangsa.
“Ini adalah salah satu usaha kami untuk membawa lebih ramai pelajar dari Malaysia ke pentas global, serta meningkatkan minat dalam bidang sains, fizik, pengkomputeran dan kejuruteraan dalam kalangan pelajar.
“Kami sangat berbangga dan pada masa sama akan terus menghantar saintis muda (pelajar) untuk menyertai program seperti CSSP, kerana kami percaya untuk saintis muda, jaringan dan pendedahan adalah penting.
“Seperti yang dinyatakan salah seorang peserta CSSP, ada dalam kalangan mereka ini tidak tahu tentang laluan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang penyelidikan masing-masing, ramai graduan mungkin tidak mengetahui laluan lain untuk menjadi seorang saintis,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan dua pelajar cemerlang program CSSP di sini hari ini.
Pada 14 Ogos lalu, MOSTI dalam satu kenyataan memaklumkan dua pelajar cemerlang Malaysia dipilih menyertai CSSP 2024 di Geneva, Switzerland yang menjanjikan pengalaman luar biasa dengan kuliah khas oleh pakar global dalam bidang fizik zarah secara teori dan eksperimen, kejuruteraan serta pengkomputeran.
Nurul Nabiilah Sulaiman, 25, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik dari Universiti Malaya dan kini mengikuti pengajian Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, manakala, Shim Zi Jun, 23, pelajar Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Awam di Universiti Nottingham.
Mereka adalah antara 150 pelajar dari seluruh dunia yang mengambil bahagian secara aktif dalam operasi harian kumpulan penyelidik yang menjalankan eksperimen di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN).
Terdahulu, kedua-dua pelajar tersebut berkongsi pengalaman mereka sepanjang menyertai program yang bermula pada 1 Julai hingga 25 Ogos lalu, terutamanya impak yang diperoleh terhadap perkembangan kerjaya sebagai saintis muda.
Nurul Nabiilah yang berasal dari Shah Alam, Selangor berkata, pengalaman selama dua bulan menyertai program berkenaan banyak membantu dirinya meningkatkan kebolehan dan keupayaan dalam bidang sains.
“Sepanjang di CSSP, kami turut mengunjungi makmal anti-zarah, sebelum ini hanya tengok melalui video sahaja. Kami berpeluang mengetahui tentang persediaan eksperimen di dalam pusat tersebut.
“Ada juga siri syarahan sains dari penyelidik terkemuka dari seluruh negara dan kami berpeluang bertanyakan soalan secara langsung kepada mereka,” ujarnya. – UTUSAN