BUKIT KAYU HITAM: Hampir 40 rakyat Malaysia yang merancang untuk bercuti ke Hatyai, Thailand kempunan apabila tidak dapat ke luar negara disebabkan masalah berkaitan dokumen perjalanan.
Antaranya disebabkan pasport yang rosak, tunggakan cukai di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kes membabitkan cukai kastam serta kes jenayah lama yang belum diselesaikan.
Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, pihaknya mengesan 10 kes pasport rosak termasuk dokumen perjalanan itu yang koyak, terkena air, hilang muka surat dan contengan oleh kanak-kanak.
“Bukan itu sahaja, terdapat juga 20 kes berkaitan tunggakan cukai LHDN dan sembilan kes melibatkan isu kastam, menjadikan perjalanan rentas sempadan ini lebih mencabar kepada mereka yang terlibat.
“Untuk elak kekecewaan saat akhir, kami harap orang ramai menyemak status perjalanan di portal Sistem Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI) sebelum membuat sebarang perancangan ke luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, semakan awal status perjalanan merupakan langkah penting bagi memastikan percutian yang dirancang tidak terganggu oleh perkara-perkara yang boleh dielakkan.
“Jangan biarkan percutian ini bertukar menjadi mimpi ngeri hanya kerana halangan yang sebenarnya boleh diselesaikan lebih awal,” ujarnya.
Dalam pada itu, keseronokan untuk menikmati tomyam dan daging bakar di Hatyai bertukar menjadi kekecewaan bagi seorang rakyat Malaysia yang terkandas kerana masalah dokumen perjalanan.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah, 45, dari Melaka berkata, dia terkedu apabila diberitahu oleh pegawai imigresen bahawa namanya tersenarai dalam sekatan perjalanan kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan.
“Saya menyertai rombongan keluarga dari Ayer Keroh dan memang teruja nak makan tomyam asli di Hatyai dan bercuti dengan keluarga besar, tapi tiba-tiba semuanya musnah. Saya tak sedar ada masalah cukai,” katanya.
Sementara itu, lelaki dari Gelang Patah, Johor, Ramesh, 36, mengalami nasib malang apabila percutiannya bersama keluarga ke Hatyai terpaksa dibatalkan kerana pasport anaknya diconteng tanpa disedarinya.
“Semua hotel dan penginapan sudah ditempah, kami rancang bercuti tiga hari. Tapi bila sampai di kaunter, pegawai beritahu pasport anak saya rosak. Saya memang tak perasan ada contengan. Habis semua perancangan kami,” ujarnya. – UTUSAN