Hampir 3,000 mangsa dipindah di tiga negeri

Hampir 3,000 mangsa dipindah di tiga negeri

SEORANG penduduk memindahkan lembu ke tempat selamat selepas kawasan ternakannya dinaiki air di Kampung Lubuk Batu, Jitra, Kubang Pasu, Kedah, semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Hujan berterusan dan fenomena air pasang besar memburukkan lagi situasi banjir di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang menyaksikan sejumlah 2,941 mangsa dipindahkan di ketiga-tiga buah negeri setakat pukul 4 petang semalam.

Di Kedah, sejumlah 2,281 penduduk dipindahkan dengan kawasan paling ramai terjejas ialah daerah Pokok Sena.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di enam daerah yang terlibat banjir.

“Peningkatan ketara adalah di daerah Kota Setar apabila 708 mangsa berlindung di lima PPS pada sebelah petang berban­ding hanya 53 mangsa di sebelah pagi,” katanya semalam.

Dalam pada itu, paras air di sembilan sungai di Kedah terus melepasi tahap bahaya setakat pukul 4 petang semalam de­ngan kesemuanya menunjukkan trend menaik.

Semakan di laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati, tiga sungai di daerah Kubang Pasu termasuk Sungai Padang Terap di Kepala Batas mencatatkan bacaan 4.48 meter (m) yang melepasi tahap bahaya 3.8m.

Di Pulau Pinang, seramai 615 mangsa banjir daripada 166 keluarga dipindahkan ke 10 PPS susulan banjir di beberapa kawasan di tiga daerah di Seberang Perai.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang berkata, antara daerah yang terjejas banjir ialah di Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).

Sementara itu di Perlis, hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dengan penduduk mula dipindahkan ke PPS yang sudah diaktifkan.

Setakat petang semalam, sebanyak 45 mangsa membabitkan 15 keluarga dipindahkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Arau dan SK Sena.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Titi Besi, Kampung Kubang Gajah, Kampung Alor Setar, Jelempok, Kampung Kota Keran, Kampung Bakau, Kampung Seberang Tambang, Kampung Tebing Tinggi dan beberapa lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN