Hakisan tanah, lubang benam gusarkan penduduk Taman Bukit Tinggi 2 - Utusan Malaysia

Hakisan tanah, lubang benam gusarkan penduduk Taman Bukit Tinggi 2

Hakisan tanah
KERETAKAN pada tebing jalan berhampiran salah sebuah rumah dekat Taman Bukit Tinggi 2 terjadi akibat hakisan tebing di Sungai Aur, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Hampir 2,000 penduduk di 456 rumah Taman Bukit Tinggi 2, di sini bimbang apabila berlaku hakisan tanah dekat kawasan tebing Sungai Aur sehingga menyebabkan keretakan serta mendapan permukaan jalan dekat Jalan Batu Nilam 23.

Malah lebih membimbangkan, berlaku mendapan tanah dan lubang benam berkeluasan kira-kira 10 meter dengan kedalaman empat meter berada kurang lima meter dari salah sebuah rumah di kawasan berkenaan dan keadaan bertambah buruk selepas hujan lebat pada akhir Ogos lalu.

Menurut seorang penduduk, Tang Tik Ping, 47, rumah teres dua tingkat miliknya terletak kira-kira empat meter bertentangan kawasan hakisan tersebut.

“Pada Mac lalu, wakil rakyat, Dr. Gunaraj George ada datang melawat kawasan hakisan ini. Semasa itu masalah hakisan belum lagi kritikal seperti hari ini.

“Namun keadaan hakisan dan gelongsoran tanah semakin parah. Setiap kali hujan turun terutama sebelah malam hingga pagi, saya sekeluarga tidak boleh tidur bimbang jika berlaku hakisan yang serius,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, dia bersama kira-kira 40 penduduk berkumpul mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang, Danish Hairuddin yang meninjau kawasan hakisan tersebut.

Jelasnya, dia memohon agar hakisan tersebut dibaiki segera bagi mengelakkan ia bertambah buruk terutama ketika peralihan Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi yang akan membawa hujan lebat berpanjangan.

“Kami difahamkan kos untuk membaik pulih tebing tersebut jutaan ringgit. Namun dengan kedatangan musim MTL dan fenomena air pasang saya bimbang hakisan semakin teruk dan menyebabkan keretakan struktur rumah saya,”ujarnya.

Dalam pada itu, Danish memberitahu, beliau memasang pita keselamatan di kawasan berkenaan sebelum langkah susulan pembaikan hakisan tanah dilakukan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, selain isu tersebut, beberapa masalah lain berkaitan banjir kilat yang kera melanda komuniti di kawasan perumahan tersebut turut diambil perhatian.
“Kita kena pasang pita keselamatan di kawasan ini agar tiada kenderaan yang diletakkan di sini. Kita bimbang hujan lebat menyebabkan berlaku kehilangan jiwa dan harta.

“Kita akan wujudkan pasukan khas untuk melaksana kerja-kerja awalan memasang ‘sheet pile’ (penahan tanah) bagi menahan tebing daripada terus menggelongsor,”ujarnya.

Katanya lagi, langkah-langkah pencegahan hakisan awal oleh pihak kejuruteraan MBDK akan digerakkan segera, namun bagi untuk membaik pulih tebing tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya