Hajat cuti ke Krabi tidak tercapai, seorang maut, enam cedera kemalangan

Hajat cuti ke Krabi tidak tercapai, seorang maut, enam cedera kemalangan

SEORANG maut manakala enam lagi cedera selepas van dinaiki mereka terbabas melanggar pokok di Kilometer 9, Jalan Kangar-Alor Setar di Kampung Permatang Pauh, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hasrat sekumpulan rakyat Malaysia untuk bercuti ke Krabi, Thailand tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka terbunuh manakala enam lagi cedera selepas van dinaiki terbabas melanggar pokok di Kilometer 9, Jalan Kangar-Alor Setar di Kampung Permatang Pauh hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, mereka dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar ke arah Kangar sebelum memasuki Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.

Mohd Arshad Hanapiah, 73, yang terbunuh adalah seorang pesara tentera dan semasa kejadian arwah duduk di belakang van. Dia  meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, mangsa-mangsa yang cedera pula membabitkan empat lelaki dan dua perempuan dengan keadaan mereka  stabil.

Menurut beliau, semasa kejadian, van dipandu Mohamad Syamel Morad, 29, terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok jenis Tunjuk Langit yang berada di bahu kiri jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan pesara tentera tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan penumpang lain cedera. Enam penumpang lain ini melibatkan dua lelaki dan empat perempuan berumur lingkungan 11 hingga 73 tahun,” katanya di sini hari ini.

Kata  Yusharifuddin, semasa kemalangan, keadaan lokasi kejadian gelap, kurang pencahayaan lampu jalan serta hujan lebat dan permukaan jalan basah dan licin.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini manakala enam lagi yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital sama.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian menemukan kesan pelanggaran di pokok dan kerosakan remuk teruk di bahagian hadapan sebelah kiri van berkenaan. Tiada kesan brek di lokasi kejadian dan tiada kesan pelanggaran melibatkan kenderaan lain. 

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang terbabas sendiri ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN