Guru tidak mengaku ceroboh pejabat bekas teman lelaki - Utusan Malaysia

Guru tidak mengaku ceroboh pejabat bekas teman lelaki

N. RETHA (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Slim River di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh bilik pejabat bekas teman lelaki di sebuah klinik, Mac lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Slim River di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh bilik pejabat bekas teman lelaki di sebuah klinik, Mac lalu.

Tertuduh, N. Retha, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Phulrani Kaur Gurcharon Singh.

Mengikut pertuduhan, guru penolong kanan kokurikulum di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh itu didakwa telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan bilik pejabat milik P. Navaneeth, 35.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah klinik di Slim River pada pukul 3 petang, 3 Mac 2024.

Pendakwaan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 beserta syarat tambahan, tertuduh tidak dibenarkan mengganggu pengadu sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, N. Vilassini memohon ikat jamin pada kadar minimum dibenarkan atas alasan wanita itu yang juga ibu tunggal, mempunyai dua tanggungan anak yang masih bersekolah selain seorang bapa menghidap penyakit jantung dan kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Phulrani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu pengadu sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Oktober depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN