Guru rugi lebih RM500,000 terpedaya panggilan palsu

Guru rugi lebih RM500,000 terpedaya panggilan palsu

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang guru kerugian RM527,733 dipercayai terpedaya dengan panggilan palsu Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pegawai polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 51 tahun dan berasal daripada Raub itu mula terpedaya sejak Ogos lalu.

Menurut beliau, panggilan tersebut dilakukan kononnya terdapat aduan terhadap nombor telefon milik mangsa.

“Dalam pada itu, sejurus dihubungi panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai Pegawai Polis.

“Suspek mengatakan bahawa mangsa mempunyai barang-barang yang menyalahi undang-undang dan terlibat dengan penggubahan wang haram serta mahkamah telah pun mengeluarkan waran tangkap terhadapnya,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, bimbang tindakan diambil mangsa kemudiannya membuka akaun bank baharu bagi memudahkan urusan penyaluran wang dibuat kepada suspek.

Jelasnya, menjadi lebih tragis setelah akaun baharu dibuka mangsa telah menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan nombor pin kepada suspek.

“Suspek meminta mangsa meletakkan kad ATM tersebut di lokasi yang diberikannya. Dalam tempoh 9 Ogos hingga 13 September lalu mangsa diminta memindahkan semua wang simpanan dan hasil jualan barang kemas ke akaun bank tersebut bagi tujuan siasatan.

“Kemudian mangsa juga diarahkan membuat pinjaman peribadi sebanyak RM250,000 daripada sebuah bank dan masukkan ke dalam akaun bank tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan terlebih dahulu bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN