Guru pendidikan jasmani dipenjara 7 tahun raba 2 murid perempuan

Guru pendidikan jasmani dipenjara 7 tahun raba 2 murid perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas guru pendidikan jasmani sebuah sekolah di Dungun, Terengganu kekal menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan satu sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap dua muridnya yang berusia sembilan tahun pada 2019.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap Tuan Sembok Tuan Puteh, 58, selepas menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin berpuas hati bahawa hakim bicara tidak mencampuri prosiding perbicaraan sehingga boleh menyebabkan salah laksana keadilan berlaku terhadap perayu. 

Koram berkenaan turut berpendapat, meskipun hakim bicara mengajukan soalan kepada mangsa yang memberi keterangan, tindakan itu tidak boleh disifatkan untuk membantu melengkapkan kes pendakwaan.

Sebaliknya, Hakim Ahmad Zaidi berkata, soalan itu tidak memprejudiskan perayu kerana dia tidak pernah dihalang untuk disoal balas oleh peguamnya.    

“Soalan itu hanya untuk mendapatkan penjelasan lanjut.  Hakim bicara tidak campur tangan dalam prosiding” ujarnya ketika menyampaikan keputusan.

Pada 12 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak rayuan Tuan Sembok bagi sabitan dan hukuman dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 1 November 2022.  Hukuman berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan.

Menyentuh mengenai rayuan terhadap hukuman, panel itu berpendapat, tempoh tersebut tidak keterlaluan yang mewajarkan mahkamah untuk campur tangan.

“Mahkamah mendapati sabitan bagi ketiga-tiga pertuduhan adalah selamat dan perayu bernasib baik kerana timbalan pendakwa raya  tidak memfailkan rayuan silang berhubung hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan tahun tiga dengan memegang paha, punggung dan kemaluan mereka.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza di tepi meja guru dan bilik rawatan sebuah sekolah di Dungun,Terengganu pada 10 pagi di antara 15 April dan 18 April 2019, mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Keterangan kes pada 15 April 2019 menyatakan, pada waktu rehat hari kejadian, salah seorang murid berkenaan (SP8) masuk ke kelas untuk meletak bekal makanan sambil ditemani seorang mangsa lain (SP15).

Guru tersebut yang ketika itu sedang berada di mejanya sambil menggunakan telefon bimbit, kemudian memanggil kedua-dua mangsa supaya mendekatinya lalu melakukan amang seksual fizikal terhadap mereka sebelum memberi amaran supaya merahsiakannya.

Kejadian kedua berlaku pada 18 April 2019 di bilik rawatan sekolah dan hanya melibatkan SP15, namun ia turut disaksikan oleh SP8.  Ketika itu perayu meminta SP15 mengurut betisnya sebelum meraba mangsa.

Pada prosiding itu, perayu diwakili barisan peguam diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud manakala Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang mewakili responden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya