Guru besar didenda RM10,000 palsukan dokumen pembelian piano digital - Utusan Malaysia

Guru besar didenda RM10,000 palsukan dokumen pembelian piano digital

ROSNAH Mat Zain didakwa memalsukan dokumen bagi pembelian piano digital bernilai RM10,200, tiga tahun lalu dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang guru besar di sebuah sekolah di Teluk Intan didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen bagi pembelian piano digital bernilai RM10,200, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Rosnah Mat Zain, 57, juga berdepan hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Rosnah mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Pada prosiding itu, Ibrahim menasihatkan tertuduh supaya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan sebagai penjawat awam.

“Ini baru (hukuman) dunia, belum akhirat. Bertaubatlah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh yang bertugas sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent di Teluk Intan telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois Brickwork Resource bertarikh 6 Desember 2021.

Dokumen itu digunakan sebagai pembayaran pembelian piano digital berjenama Roland dan bangku berwarna hitam berjumlah RM10,200 di mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu

Tertuduh melakukan perbuatan itu di SK Convent di Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak pada 9 Disember 2021.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, iaitu boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa, Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN