Guru berdepan empat tuduhan laku amang seksual fizikal murid lelaki - Utusan Malaysia

Guru berdepan empat tuduhan laku amang seksual fizikal murid lelaki

MOHD. Hamdi Hanafi (tengah) yang berdepan empat tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelakinya dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuaka Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelakinya, tahun lalu.

Mohd. Hamdi Hanafi, 47, bagaimanapun memohon untuk dibicarakan sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun sembilan bulan.

Mohd. Hamdi didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral itu di dalam kereta di Jalan Pantai Sura dan di sebuah rumah di Dungun pada 3 dan 10 Ogos 2023.

Guru Pendidikan Jasmani itu berhadapan dua pertuduhan bawah Seksyen 14(a) dan dua di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, Mohd. Hamdi yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Dungun boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan turut dibacakan bersama Seksyen 16 Akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat tidak kurang dua sebatan.

Sebaik merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada tertuduh, mahkamah menetapkan 6 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 selain syarat dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis setiap bulan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab. Latif manakala tertuduh diwakili Afiq Aziz selaku peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN