Adam Hanif guna papan gelongsor untuk bergerak

Adam Hanif guna papan gelongsor untuk bergerak

MUHAMMAD Adam Hanif (kiri) bersama Mohd. Faisal Shahri dan ahli keluarganya di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai di Kulim, Kedah. – UTUSAN/ AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kelincahan dan keceriaan Muhammad Adam Hanif Mohd. Faisal, bergerak di atas papan gelongsor menggunakan tangan menunjukkan semangat positif kanak-kanak itu biarpun langkahnya tidak sekuat rakan seusianya.

Muhammad Adam Hanif, 10, dikesan menghidap penyakit spina bifida atau kecacatan tulang belakang sejak berusia beberapa bulan yang menyebabkannya mengalami masalah saraf dan bahagian pinggang hingga kaki lemah serta kurang berdaya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu sebelum ini hanya boleh merangkak serta mengesot dan baru dua tahun mendapat papan gelongsor yang direka khas oleh seorang penderma bagi memudahkannya bergerak di dalam rumah.

Bapanya, Mohd. Faisal Shahri, 37, berkata, anak sulungnya itu menjalani pembedahan di bahagian pinggang tahun lalu untuk membantu pergerakan dan membesarkan ototnya.

Katanya, Muhammad Adam Hanif yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Lobak, Padang Serai, dekat sini terpaksa menggunakan kerusi roda ketika berada di sekolah.

“Walaupun dia ada kaki palsu khas untuk menyokong ka­kinya, penggunaan kerusi roda lebih mudah untuknya bergerak semasa berada di sekolah dan sewaktu ke hospital menerima rawatan.

“Anak saya juga terpaksa memakai lampin pakai buang sepanjang masa kerana dia turut menghadapi masalah sistem pembuangan air besar serta air kecil,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Sidam Kanan, di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd Faisal, sekiranya lampin pakai buang penuh, pihak sekolah menghubungi isterinya, Umi Kalsom Awang, 37, untuk menukar kain lampin atau membawanya pulang ke rumah.

Katanya, setiap bulan dia membawa Muhammad Adam Hanif ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan darah sebelum ke beberapa hospital lain bagi pemeriksaan seperti Hospital Kuala Lumpur, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Prince Court Hospital.

“Sebab itu saya be­kerja gaji harian atau tidak tetap kerana mengambil cuti yang kerap untuk membawa anak mendapatkan rawatan ke hospital yang terletak jauh,” ujarnya.

Menurutnya, dia kini be­kerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai perabot di Kulim dengan pendapatan bulanan sekitar RM700 ke RM900, selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 dan Zakat Kedah RM300.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0200441000185621 milik Mohd Faisal atau menghubungi 013-8274309 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN