Guan Eng digambarkan anti-Melayu, anti-Islam, pendendam - Peguam

Guan Eng digambarkan anti-Melayu, anti-Islam, pendendam – Peguam

LIM GUAN ENG dan MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berbaur fitnah dan mencemar reputasi Lim Guan Eng apabila menggambarkan beliau menyalahgunakan kuasa ketika berjawatan Menteri Kewangan berhubung pembatalan pengecualian cukai kepada sebuah yayasan kebajikan.

Peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Guan Eng berhujah, tiga kenyataan Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri jika dibaca secara keseluruhan oleh pembaca yang munasabah membawa maksud bahawa beliau anti-Melayu dan anti-Islam.

Beliau berhujah, kenyataan tersebut juga didakwa membawa maksud bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu (plaintif) mensasarkan sebuah institusi yang membantu masyarakat Melayu dan Islam dalam kerja-kerja amal dan kebajikan.

Ujar Ngek Seong, kenyataan fitnah berkenaan antaranya bermaksud Guan Eng menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan, walhal ia tidak patut dikenakan cukai.

“Petikan itu jika dibaca secara munasabah boleh menyimpulkan bahawa plaintif seorang yang pendendam, bertindak dengan niat jahat dan sengaja mensabotaj yayasan berkenaan,” ujarnya.

Ngek Seong berhujah demikian pada prosiding kes saman yang dikemukakan oleh Guan Eng terhadap Muhyiddin atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai terhadap organisasi berkenaan.

Peguam itu selanjutnya berhujah, Muhyiddin (defendan) mengetahui bahawa isu pembatalan pengecualian cukai tiada kaitan dengan Guan Eng namun bertindak memutar belit fakta dan menamakan plaintif sebagai pihak yang membatalkannya.

Dalam keterangannya sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan itu memberitahu, beliau tiada pilihan selain menyaman Muhyiddin kerana enggan memohon maaf selepas memfitnahnya sebanyak tiga kali berhubung isu berkenaan.

Ujar Guan Eng, selain menyentuh isu 3R (race, religion, royalty) yang boleh menggugat keharmonian kaum, kenyataan Muhyiddin melencong dan mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Jana Wibawa sedangkan kedua-duanya (organisasi itu dan Jana Wibawa) tiada kaitan.

Sementara itu, peguam Chetan Jethwani ketika berhujah bagi pihak Muhyiddin berkata, tafsiran plaintif sendiri yang memburukkan keadaan sehingga kenyataan tidak berbahaya, digambarkan sebagai menyinggung perasaan dan merosakkan.

Hujah beliau, dalam kenyataan tersebut, Ahli Parlimen Pagoh itu memaklumkan kepada umum punca beliau dipanggil oleh SPRM dan kedudukannya berhubung siasatan yang dijalankan terhadapnya.

“Kami menghujahkan bahawa kata-kata itu tidak, secara semula jadi dan dibaca oleh individu yang munasabah, membawa maksud yang dicadangkan oleh plaintif berkaitan penyalahgunaan kuasa, anti-Melayu, anti-Islam atau mensabotaj yayasan berkenaan,” hujahnya.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Mac 2023, Guan Eng berkata, Muhyiddin ditahan SPRM pada 9 Mac 2023 dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang.

Katanya, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama diikuti pada 11 dan 12 Mac 2023 di dalam Facebook miliknya dan kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain kemudian menetapkan 8 November ini bagi keputusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN