KOTA KINABALU: Graduan Universiti Teknologi Petronas (UTP) digesa kembali berkhidmat di Sabah selepas tamat pengajian bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran.
Naib Canselor UTP, Prof Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, pada masa ini, Sabah masih berhadapan kekurangan sumber tenaga manusia yang boleh membantu dalam pembangunan industri di negeri ini.
Katanya, Sabah sedang membangun menjadi hab minyak dan gas selain beberapa industri lain yang berpotensi juga sedang berkembang ke Sabah.
Menurut beliau, industri-industri ini memerlukan sumber tenaga manusia dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Justeru, UTP berperanan dalam menggalakkan graduan-graduan keluaran universiti berkenaan untuk pulang semula ke Sabah selepas tamat pengajian agar dapat memenuhi keperluan industri.
“Maka, UTP dan institusi-institusi pendidikan lain harus memainkan peranan membantu melengkapkan pelajar-pelajar Sabah dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan industri.
“Pada pandangan saya, tidak ramai graduan UTP yang pulang ke Sabah selepas tamat pengajian. Jadi, kami menggalakkan graduan-graduan dari Sabah untuk pulang berkhidmat di negeri ini,” katanya semasa majlis ramah mesra bersama media Sabah, semalam.
Kata beliau, setiap tahun tidak lebih daripada 50 pelajar dari Sabah diterima masuk ke UTP dan sehingga kini terdapat lebih 300 alumni UTP yang telah tamat pengajian.
Mohamed Ibrahim berkata, UTP sentiasa bekerjasama dengan pemain industri bagi menghubungkan mereka dengan pelajar-pelajar yang berpotensi untuk diambil bekerja oleh industri.
“Di peringkat universiti, kita membantu menyediakan platform untuk industri mengadakan pameran kerjaya dan melakukan temu duga bersama pelajar. Kita menghubungkan pelajar-pelajar Sabah dengan industri yang memerlukan kemahiran mereka.
“Sekiranya interaksi antara industri dan pelajar ini baik maka, ia dapat menggalakkan mereka kembali berkhidmat di Sabah selepas tamat pengajian kelak,” katanya.- UTUSAN