PUTRAJAYA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) digesa akur dengan arahan terbaharu Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) supaya pemilihan ahli majlis tertinggi pertubuhan itu dibuat dalam tempoh 30 hari.
Sebelum ini, ROY menerusi surat bertarikh 23 September lalu memutuskan supaya pemilihan dibuat dalam tempoh 30 hari bermula Isnin lalu.
Bekas Presiden GPMS ke-22, Jais Abdul Karim ketika dihubungi berkata, Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi perlu patuh dengan arahan terbaharu itu dan melaksanakan proses tersebut dengan telus.
“Pandangan saya berikan bukan bertujuan mencampuri urusan dalaman atau mengganggu pentadbiran semasa sebaliknya mahu memastikan GPMS kekal sebagai sebuah organisasi yang berpegang pada amalan demokrasi dan integriti.
“Saya ingin menegaskan bahawa nasihat ini bukanlah untuk melemahkan kepimpinan sedia ada, sebaliknya untuk memastikan GPMS terus diuruskan dengan prinsip keadilan dan keterbukaan,” katanya.
Katanya, beliau berharap kepimpinan GPMS tidak melihat nasihat ini sebagai serangan, tetapi sebagai langkah untuk mengukuhkan organisasi.
Sebelum ini, Muhd Fazreen bersama beberapa ahli majlis tertinggi GPMS hadir di pejabat ROY pada Isnin lalu, namun menafikan pertemuan itu ada kaitan dengan pemilihan ahli majlis tertinggi.
Bagaimanapun, Muhd Fazreen memaklumkan GPMS bersedia melakukan pemilihan tahun ini jika permohonan untuk melaksanakan proses itu tahun depan ditolak ROY.
GMPS sebelum ini menegaskan pihaknya tetap mahu melaksanakan proses pemilihan itu tahun depan.
Merujuk kepada surat dihantar ROY bertarikh 16 Julai dan 15 Ogos lalu, GPMS disyorkan untuk mengadakan pemilihan majlis tertingginya sebelum 16 September lalu. – UTUSAN