SHAH ALAM: Individu dikenali sebagai ‘Tuan Usu’ yang disyaki bertanggungjawab mengendalikan aliran kewangan Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dilanjutkan reman bagi membantu siasatan polis.
Perintah reman selama lima hari terhadap lelaki berusia 50-an itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Nurshahira Abdul Salim di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Turut disambung reman tempoh sama adalah isterinya yang juga berusia 50-an.
Peguam Rosli Kamaruddin berkata, pasangan suami isteri itu direman seminggu sejak Isnin lalu.
“Tempoh reman ke atas individu termasuk ‘Tuan Usu’ itu berakhir hari ini (semalam). Permohonan lanjutan reman kemudian dibenarkan selama lima hari lagi sehingga 3 Oktober ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurutnya, siasatan antaranya dijalankan mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Dalam pada itu, mahkamah sama turut membenarkan permohonan untuk menempatkan 15 kanak-kanak yang merupakan anak kepada seorang pemimpin kanan GISBH di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sembilan kanak-kanak lelaki dan enam perempuan berusia tiga tahun hingga 16 tahun itu akan ditempatkan di rumah perlindungan JKM di Johor dan Kuala Lumpur.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan individu penting dalam rangkaian GISBH dikenali ‘Tuan Usu’ diberkas di Butterworth, Pulau Pinang, Sabtu minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan individu itu ditahan menerusi Op Global Fasa 4 selepas polis memberkas pemimpin utama syarikat berkenaan di ibu negara.
Siasatan susulan masih dijalankan terhadap suspek dan beberapa pemimpin lain termasuk meneliti segala akaun berkaitan dengannya.
Terdahulu, Facebook PUKAS Malaysia mendedahkan ‘Tuan Usu’ disyaki antara individu penting yang memainkan peranan sebagai pengendali aliran tunai untuk GISBH. – UTUSAN