SHAH ALAM: Individu dikenali sebagai Tuan Usu yang disyaki bertanggungjawab mengendalikan aliran kewangan Global Ikhwan Services and Business Sdn. Bhd. (GISBH) dilanjutkan reman bagi membantu siasatan polis.
Perintah reman selama lima hari ke atas lelaki berusia 50-an itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Nurshahira Abdul Salim di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi. Turut disambung reman tempoh sama, isterinya yang juga berusia 50-an.
Peguam Rosli Kamaruddin berkata, pasangan suami isteri itu direman selama seminggu sejak Isnin lalu.
“Tempoh reman ke atas individu termasuk ‘Tuan Usu’ itu berakhir hari ini. Permohonan lanjutan reman kemudian dibenarkan selama lima hari sehingga 3 Oktober ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambahnya, siasatan antaranya dijalankan mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Dalam pada itu, mahkamah sama turut membenarkan permohonan untuk menempatkan 15 kanak-kanak yang merupakan anak kepada seorang pemimpin kanan GISBH di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sembilan kanak-kanak lelaki dan enam perempuan berusia tiga hingga 16 tahun akan ditempatkan di rumah perlindungan JKM di Johor dan Kuala Lumpur.
Terdahulu, pasangan itu tiba menaiki trak polis dengan dikawal ketat anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kira-kira pukul 10 pagi.
Sejurus selesai, mereka yang berpakaian lokap jingga dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan individu penting dalam rangkaian GISBH dikenali Tuan Usu itu diberkas di Butterworth, Pulau Pinang, Sabtu minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan individu itu ditahan menerusi Op Global Fasa 4 selepas pihak polis memberkas pemimpin utama syarikat berkenaan di ibu negara.
Siasatan susulan masih dijalankan terhadap suspek dan beberapa pemimpin lain termasuk meneliti segala akaun berkaitan dengannya.
Terdahulu, Facebook PUKAS Malaysia mendedahkan Tuan Usu disyaki antara individu penting yang memainkan peranan sebagai pengendali aliran tunai untuk GISBH.
Sebelum ini seramai 19 individu dipercayai pimpinan tertinggi GISBH dilaporkan ditahan di sebuah kediaman di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada 19 September lalu.
Mereka yang ditahan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, isteri dan dua anaknya dalam serbuan yang dilakukan pukul 5.40 pagi.
Laman Facebook PUKAS turut mendedahkan kutipan sumbangan yang diperoleh GISBH melebihi RM2.3 juta melalui 58 zon di seluruh dunia.
Wang itu didakwa akan diuruskan wakil setiap zon melalui akaun peribadi, wang tunai, emas sebelum disalurkan kepada pengutip atau pengumpul dana.
Selain itu, ia dipercayai akan diagihkan kepada 10 individu penting sama ada disimpan atau digunakan untuk membeli aset atas nama peribadi ahli selain sebahagian kecil bagi pengaliran tunai perniagaan anak-anak syarikat di bawah GISBH.
Terbaharu, PDRM menyiasat dakwaan kewujudan pusat kuarantin GISBH di beberapa lokasi di dalam dan luar negara susulan maklumat PUKAS berkaitan tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli bermasalah.
Sehingga kini, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007 berkaitan isu buruh paksa yang diterima daripada beberapa individu pernah bekerja dengan GISBH. – UTUSAN