GISBH: Saifuddin letak kepercayaan penuh kompetensi PDRM

GISBH: Saifuddin letak kepercayaan penuh kompetensi PDRM

SAIFUDDIN Nasution Ismail berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meletak sepenuh kepercayaan terhadap kompetensi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguruskan siasatan yang dijalankan ke atas GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Menurut beliau, sekiranya jelas berlaku eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak, kesalahan seksual kanak-kanak mahu pun pemerdagangan manusia, tindakan harus diambil dan diteruskan.

“Saya mendukung sepenuhnya tindakan yang dilakukan oleh PDRM ke atas GISB, (jika) berlaku eksploitasi wanita dan kanak-kanak, ada bukti, teruskan. (Kes) di bawah kanun keseksaan, ada teruskan. Di bawah kesalahan-kesalahan seksual kanak-kanak, teruskan.

“Di bawah ATIPSOM (Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007), buka siasatan. Kalau ada elemen buruh paksa, bekerja tetapi tidak dibayar gaji, buka siasatan,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Minggu lalu, PDRM mengesahkan siasatan terhadap GISBH melalui Op Global ketika ini tertumpu kepada usaha menjejak aliran wang termasuk aset dalam negara yang dikaitkan dengan syarikat itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses itu dijangka memakan masa memandangkan usaha menjejaki aset dan transaksi aliran wang itu membabitkan akaun syarikat dan individu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, selain PDRM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dokumen pengenalan diri milik kanak-kanak GISBH yang diselamatkan.

“Ini kerana ada Persatuan Peguam Syarie yang timbulkan dari segi nasab. Pada kita, dokumen pengenalan diri adalah sijil lahir mereka, itu ada, memadai. Kita cuma pastikan dokumen pengenalan diri mereka ada, barulah boleh dibawa ke aliran mainstream untuk pendidikan dan sebagainya, itu tugas kita,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi sidang akhbar, Saifuddin memaklumkan, sebanyak 80 kertas siasatan telah dibuka setakat ini ke atas GISBH membabitkan empat akta iaitu Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, ATIPSOM 2007 dan di bawah Kanun Keseksaan.

Jelasnya, tangkapan yang dibuat adalah seramai 359 orang dengan 592 kanak-kanak GISBH telah berjaya diselamatkan dan jumlah tersebut masih kekal.

“Jadi, daripada 80 kertas siasatan yang dibuka, polis dan semua agensi tentunya mengambil masa untuk melengkap dan menyempurnakan (siasatan) sebelum diserahkan kepada AGC (Jabatan Peguam Negara). Sama ada, ada pendakwaan atau tidak, itu kuasa di peringkat AGC,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN