GISBH: Polis Selangor kongsi maklumat dengan JAIS, MAIS - Utusan Malaysia

GISBH: Polis Selangor kongsi maklumat dengan JAIS, MAIS

GISBH Selangor
HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis Selangor bekerjasama penuh dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam perkongsian maklumat berkaitan kes Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn. Bhd. (GISBH).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerjasama erat antara ketiga-tiga pihak dilaksanakan sejak awal lagi.

“Ini (siasatan kes) dilakukan menerusi satu pasukan khas bersepadu di peringkat kontinjen Bukit Aman.

“Jadi, apa yang boleh saya tegaskan memang ada kerjasama perkongsian maklumat antara polis Selangor, MAIS dan JAIS mengenai aktiviti (GISBH) di negeri ini,” katanya selepas merasmikan penutupan program Larian Marathon Selangor Police Integrity 2024, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin menitahkan seluruh agensi agama Islam di Selangor bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam kesalahan jenayah disyaki berkaitan GISBH diheret ke mahkamah.

Selain itu, baginda menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam bawah kawalan GISBH serta rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terbabit apa-apa kegiatan jenayah, termasuk jenayah syariah, ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Titah baginda, berdasarkan laporan diterima baginda kebanyakan daripada rumah amal GISBH yang terlibat dalam siasatan telah lama beroperasi di beberapa buah negeri di negara ini khususnya di Selangor tanpa pendaftaran.

Sementara itu, MAIS mengarahkan semua pegawai penguat kuasa agama dan nazir bagi sekolah Islam di bawah JAIS membuat siasatan segera ke atas semua rumah amal dan sekolah yang mempunyai kaitan dengan syarikat GISBH.

Sekolah Islam yang dikenal pasti terlibat perlu dibatalkan pendaftarannya mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan seramai 155 individu termasuk 77 wanita yang disyaki terlibat dengan syarikat itu ditahan dalam Op Global di seluruh Semenanjung Malaysia.

Kesemua individu itu ditahan dalam serbuan di 82 premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, ma’ahad dan rumah persendirian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN