GISBH: Polis beku 153 akaun, sita pelbagai aset termasuk 26 haiwan

GISBH: Polis beku 153 akaun, sita pelbagai aset termasuk 26 haiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja membekukan 153 akaun dengan 138 akaun berjumlah RM882,795.94 yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan pembekuan dilakukan mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dan penyitaan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.

Katanya, jumlah terkini pembekuan  adalah sebanyak 153 akaun dengan pecahan terdiri daripada 138 akaun dengan jumlah RM882,795.94.

“Sebanyak 22 buah kereta pelbagai jenis bernilai anggaran RM1,872,085.00 dan 14 lot hartanah telah dijalankan tindakan pembekuan.

“Tindakan penyitaan juga turut dijalankan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dengan jumlah terkini keseluruhan antaranya 16 buah kereta pelbagai jenis dengan nilai berjumlah RM2.07 juta, 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan ekor kuda, 14 ekor arnab dan tiga  ekor burung merak, wang tunai bernilai RM18,650.00 selain dua utas jam jenama Amazfit anggaran RM600,” katanya dalam sidang akhbar Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini hari ini. 

Ditanya adakah terdapat duit GISBH disimpan dalam akaun persendirian atau pemimpin kumpulan itu, Razarudin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Jelas beliau, perkara itu akan dapat dipastikan apabila penjejakan aliran wang dilakukan oleh pihak penyiasat PDRM.

“Kita di PDRM juga hendak tahu ada atau tidak duit kumpulan disimpan dalam akaun persendirian atau mana-mana ahli yang lain,” ujarnya.

Beliau berkata, PDRM turut mengesan beberapa komen negatif menerusi media sosial yang mendakwa polis mengabaikan haiwan yang dirampas daripada premis milik GISBH. 

“PDRM menafikan tuduhan itu yang mana secara hakikatnya, satu tindakan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pihak Berkuasa Tempatan diambil dan sedang dilaksanakan bagi menjalankan pemeriksaan dan penjagaan terhadap haiwan haiwan yang dirampas.

“Sebagai makluman, sebelum perintah pelupusan diperoleh daripada mahkamah, PDRM adalah sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan makan dan minum haiwan-haiwan yang dirampas berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN