GISBH akan beri kerjasama kepada polis, Jakim

GISBH akan beri kerjasama kepada polis, Jakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung tuduhan jenayah dan ajaran sesat yang dikaitkan dengan syarikat itu.

Dalam satu kenayataan, GISBH berkata, mereka akan bekerjasama rapat dengan Jakim, polis dan pihak berkuasa agama negeri-negeri bagi memastikan segala isu dapat diselesaikan secara telus serta adil.

“Kami amat mengalu-alukan panduan dan nasihat daripada pihak berkuasa agama dalam usaha kami memperkukuhkan ekonomi halal dan memastikan kami sentiasa berada di landasan yang benar,” jelas GISBH.

Melalui kenyataan itu, GISBH juga menafikan terlibat atau menyokong mana-mana ajaran yang difatwakan sesat di negara ini sejak penubuhannya lagi.

Katanya, sebarang tuduhan atau fitnah yang cuba mengaitkan syarikat itu dengan penyelewengan akidah adalah tidak berasas, tidak benar dan hanya bertujuan merosakkan reputasinya.

Menurutnya, sejak penubuhan pada 23 Oktober 2012 lagi, GISBH mematuhi ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“GISBH ingin menegaskan bahawa sebagai syarikat yang beroperasi di 20 negara, kami sentiasa mengutamakan pematuhan terhadap semua undang-undang dan peraturan selaras dengan prinsip Islam yang kami junjung.

“Kami memahami tanggungjawab besar yang kami galas dalam memastikan setiap operasi dijalankan mengikut piawaian ditetapkan dan kami komited untuk menjunjung tinggi akidah serta amalan Islam yang benar,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, terdapat pelbagai dakwaan berkait dengan GISBH bahawa syarikat tersebut mempunyai kaitan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa, antaranya mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan.

Sehubungan itu, Cawangan Khas (SB) Bukit Aman dilaporkan sedang memantau GISB susulan empat laporan polis yang diterima berkaitan eksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, pihaknya kini menjalankan pemantauan terhadap organisasi itu susulan laporan polis di Selangor mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar turut mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan pertemuan dengan GISBH bagi meminta penjelasan.

Sementara itu, GISBH berkata, semua pihak perlu menilainya dengan adil dan bijaksana bagi mengelakkan daripada menyebarkan maklumat tidak sahih.

“GISBH akan terus bekerjasama rapat dengan Jakim, polis dan pihak berkuasa agama negeri-negeri bagi memastikan segala isu dapat diselesaikan secara telus serta adil.

“Kami amat mengalu-alukan panduan dan nasihat daripada pihak berkuasa agama dalam usaha kami memperkukuhkan ekonomi halal dan memastikan kami sentiasa berada di landasan yang benar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN