GISBH: KPM beri akses pendidikan kanak-kanak diselamatkan 1 Oktober

GISBH: KPM beri akses pendidikan kanak-kanak diselamatkan 1 Oktober

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan proses untuk memberikan akses pendidikan formal dan berstruktur kepada kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dijangka bermula pada 1 Oktober depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu bermatlamat untuk memastikan kanak-kanak terbabit bersedia untuk diserap kembali ke sistem pendidikan kebangsaan.

Menurut beliau, akses pendidikan tersebut merupakan kerjasama antara KPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengelakkan keciciran dalam kumpulan kanak-kanak itu.

“Kita ambil berat dan kita ada komitmen tinggi untuk memastikan anak-anak ini (dapat) mengikuti sepenuhnya pendidikan.

“Kita bimbang sekiranya mereka ketinggalan ketika dalam tempoh siasatan dan sepanjang proses tersebut berlaku, jadi kita ambil tanggungjawab itu untuk pastikan pendidikan mereka terjamin,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPM di sini hari ini.

Terdahulu menerusi Op Global yang dijalankan pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi pengabaian dan penganiayaan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal berkenaan.

Ditanya sama ada kanak-kanak GISBH akan mengikuti sesi pembelajaran seperti murid lain di sekolah, Fadhlina menjelaskan, setakat ini kanak-kanak terbabit akan menerima akses pendidikan di lokasi mereka dilindungi atas faktor keselamatan.

Jelasnya, bagi fasa pertama, dianggarkan kira-kira 300 kanak-kanak akan terlibat dalam inisiatif itu, selain KPM turut menjangkakan akan ada fasa seterusnya bergantung kepada proses siasatan dan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Pertamanya, mereka tidak berada di sekolah biasa, mereka tidak bersama anak-anak arus perdana yang lain. Kita dah pernah buat sebelum ini modul khas khusus tersebut dan kita akan tangani secara spesifik dan berasingan daripada kanak-kanak lain.

“Kita ambil maklum keadaan mereka. Ada beberapa penilaian yang dilakukan termasuk dalam aspek 3M (membaca, mengeja, mengira), psikososial dan sesi bersama kaunselor. Selepas selesai semua sesi tersebut baru lah KPM akan ambil alih,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, akses pendidikan yang diberikan kepada kanak-kanak GISBH tersebut turut melibatkan sejumlah guru dan ia dilaksanakan berdasarkan tiga kohort yang telah dikenal pasti.

“Memang akan ada penggiliran guru dan juga intervensi yang dilakukan dari masa ke semasa, ia akan dilihat berdasarkan kohort. Sekarang kita dah kenal pasti tiga kohort iaitu pra sekolah, rendah dan menengah yang sangat penting,” katanya.

Selain itu, menurut Fadhlina, pasukan undang-undang KPM juga sedang meneliti sama ada akan mengambil tindakan terhadap kelompok ibu bapa yang menafikan akses pendidikan kepada anak-anak mereka.

“Ini isu serius apabila anak-anak dinafikan persekolahan sedangkan di bawah Akta Pendidikan 1996 dan dasar pendidikan kita telah pun mewajibkan perkara itu.

“Kita sedang lihat perkara ini dengan serius dan pasukan undang-undang sedang teliti, barang kali jika tindakan diambil (kita) akan maklumkan dari masa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya