GISBH: KPM bantu kanak-kanak terjebak, sedia modul khas - Utusan Malaysia

GISBH: KPM bantu kanak-kanak terjebak, sedia modul khas

GISBH modul khas
FADHLINA Sidek menandatangani plak sebagai gimik perasmian Hub STEM Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kementerian Pendidikan akan membantu kanak-kanak terlibat dalam gerakan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dengan menekankan pembelajaran Pendidikan Islam termasuk menyediakan modul khas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan membuat penilaian latar belakang, psikologi, dan pendidikan yang pernah diterima kanak-kanak itu sebelum ini bagi menentukan jenis pendidikan yang akan diberikan kepada mereka.

“Selepas penilaian dibuat secara berfasa, kita akan tentukan sama mereka boleh bersekolah di arus perdana (sekolah kebangsaan) atau membuat satu modul khas pendidikan kepada mereka.

“Selain pendidikan Islam, kita akan lihat semua aspek seperti literasi, numerasi, psikososial dan keseluruhan aspek akademik mereka,” katanya selepas menghadiri program Powering Knowledge STEM Hub, hari ini.

Terdahulu, polis melalui Operasi (Op) Global dilapor menyelamatkan 402 kanak-kanak, iaitu 201 lelaki dan 201 perempuan yang berumur setahun hingga 17 tahun.

Kesemua mereka berjaya diselamatkan dalam serbuan ke atas 20 buah rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan milik GIBSH.

Sementara itu mengulas mengenai program hari ini, Fadhlina berkata, kementeriannya mengalu-alukan usaha yang dilakukan Petronas melalui Yayasan Petronas bagi memperkasakan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan harapan dapat menarik lebih ramai murid mengambil mata pelajaran itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

“Ini adalah sinergi penting (kerjasama antara KPM dengan Yayasan Petronas) bagi hala tuju dan agenda transformasi pendidikan STEM.

“PKG Tanjong Karang sangat bertuah kerana mendapat manfaat yang besar daripada Hub STEM ini untuk digunakan oleh guru dan murid sekolah sekitar daerah ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya