GISBH: Jais teliti 612 individu ditahan polis

GISBH: Jais teliti 612 individu ditahan polis

MOHAMMAD FAHMI NGAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjalankan siasatan ke atas 612 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH).

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, siasatan dengan kerjasama polis setakat ini mengesan 386 individu diklasifikasikan sebagai mangsa yang diselamatkan untuk ditemu bual.

Menurut beliau, seramai 184 individu pula sebagai orang yang disyaki (OYDS) bagi tujuan pendakwaan, manakala baki 42 individu masih menunggu klasifikasi pihak polis .

“Sehingga petang semalam, lebih 100 OYDS ditangkap Jais untuk disiasat dan dirakam percakapan.

“Semua individu akan disiasat mengikut Seksyen 7,8,10,12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 106 dan 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016 serta Seksyen 40 dan 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003,” katanya malam tadi.

Mohammad Fahmi berkata, jawatankuasa khas turut melantik lapan pegawai penyiasat (IO) khas bagi meneruskan siasatan terhadap beberapa kes penting melibatkan individu berprofil tinggi dalam GISBH.

“Tangkapan polis terhadap individu itu dijangka membolehkan Jais mengemukakan kes ke Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor.

“Jais turut menutup semua Sekolah Islam di bawah GISBH dangan mengeluarkan notis penutupan mengikut Seksyen 25 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan 2001,” kata beliau.

Fahmi berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkaitan tindakan GISBH memungut wang atau sumbangan daripada umat Islam menerusi rumah-rumah amal mereka.

“Satu mekanisme diwujudkan bagi membolehkan orang awam menyemak kebenaran memungut wang atau sumbangan mana-mana pihak mengikut hukum syarak.

“Langkah itu bertujuan memastikan sumbangan umat Islam tidak disalahgunakan oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan atas dasar simpati dan agama,” katanya.

Justeru, Fahmi meminta umat Islam di negeri ini terus menjadi mata kepala kepada MAIS dan JAIS dalam mengesan pergerakan awal, mengekang dan membanteras segala bentuk penyelewengan akidah.

Orang ramai boleh membuat aduan dengan menghubungi talian hotline JAIS di talian 1800-88-2424.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya