KLANG: Perbuatan seorang guru sekolah agama berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) merotan tiga kanak-kanak menerima pembalasan apabila dipenjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Selain itu, Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, turut dikenakan bon berkelakukan baik selama lima tahun dan cagaran berjumlah RM10,000.
Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang juga warden asrama mengaku bersalah atas empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Muhammad Barur yang masih bujang kelihatan sugul dan menundukkan kepala sebelum turut mengakui semua fakta kes dikemukakan pendakwaan.
Noridah dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati dengan pengakuan tertuduh yang disabitkan bersalah atas semua pertuduhan itu.
“Justeru, kamu (tertuduh) dijatuhi hukuman penjara iaitu dua dan tiga tahun. Empat hukuman itu perlu dijalankan berasingan bermula tarikh tangkapan pada 11 September lalu.
“Selain itu, kamu diperintah menyempurnakan bon berkelakuan baik selama lima tahun. Jika gagal, hukuman penjara enam bulan dikenakan bagi setiap kes pertuduhan,” katanya.
Berdasarkan empat pertuduhan, Muhammad Barur sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun didakwa menganiaya mereka dengan merotan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Selain itu, dia didakwa menekan dada menggunakan lutut ke atas seorang daripada kanak-kanak tersebut yang dilakukan di dua premis termasuk sebuah sekolah agama di sekitar Bukit Raja, Klang Utara di sini, antara Jun dan Julai lalu serta bulan ini.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebagai tambahan hukuman, tertuduh perlu menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berlakuan baik dalam mana-mana tempoh yang difikirkan patut oleh mahkamah.
Terdahulu, Muhammad Barur yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan telah insaf dan nekad enggan mengulangi perbuatan itu selain mempunyai tanggungan ibu bapa.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memohon pemberatan hukuman dengan mengambil kira tujuh faktor utama.
“Ia antaranya melibatkan elemen kekerasan, kecederaan dan keadaan mangsa sama ada fizikal atau mental selain kepentingan awam.
Perbuatan itu dianggap tidak berperikemanusian kerana tertuduh sepatutnya melindungi dan bukannya menganiayai mangsa sehingga mengalami trauma. Kes itu juga menggusarkan rakyat kerana tersebar meluas di negara ini,” katanya.
Utusan Malaysia minggu lalu melaporkan seramai 186 individu diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Global fasa empat yang dilancarkan di seluruh negara bagi mengesan saki baki ahli yang terlibat dengan organisasi GISBH.
Kesemua mereka yang diselamatkan terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita termasuk seorang kanak-kanak yang tular dirotan seorang lelaki disyaki ahli GISBH.
Sebelum ini, tular video memaparkan beberapa kanak-kanak dirotan seorang lelaki dipercayai lebih daripada 10 kali sambil mangsa masing-masing menahan kesakitan. – UTUSAN