GISBH dipercayai masih amal Aurad Muhammadiyah

GISBH dipercayai masih amal Aurad Muhammadiyah

KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (dua kanan) melihat antara recopy rampasan pada sidang akhbar Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) di sini hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini mendapati Global Ikhwan and Services Berhad Holdings (GISBH) dipercayai masih mengamalkan Aurad Muhammadiyah yang diharamkan pada 1994. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia berikutan penemuan buku-buku dan risalah berkaitan tarekat tersebut melalui serbuan dijalankan di premis GISBH dalam operasi fasa keempat pada 21 September lalu. 

“Kita percaya, daripada risikan dan keterangan yang kita dapati bahawa GISBH ini masih mengamalkan tarekat ini (Aurad Muhammadiyah) kerana ada buku Abuya, ada zikir. 

“Terdapat barangan disyaki bertentangan Islam dan berkaitan Aurad Muhammadiyah yang mana tarekat ini dimulakan Al-Arqam yang difatwakan sesat pada 1994. 

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut berkaitan perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. 

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, dalam Op Global fasa keempat pada 21 September lalu, PDRM bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah merampas 455 naskhah, risalah dan logo; telefon bimbit (90), komputer (16), haiwan (26), kenderaan (13) dan wang tunai (RM904).

Katanya, sebanyak 153 akaun dengan 138 akaun  berjumlah RM882,795.94 dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

“Tindakan pembekuan dilakukan mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dan penyitaan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.

“Jumlah terkini pembekuan  adalah sebanyak 153 akaun dengan pecahan terdiri daripada 138 akaun dengan jumlah RM882,795.94 dan 15 akaun telah ditutup.

“Sebanyak 22 buah kereta pelbagai jenis bernilai anggaran RM1,872,085.00 dan 14 lot hartanah telah dijalankan tindakan pembekuan,” ujarnya. 

Tambahnya, tindakan penyitaan turut dijalankan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) melibatkan pelbagai rampasan aset.

 “Antaranya 16 buah kereta pelbagai jenis dengan nilai berjumlah RM2.07 juta, 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan ekor kuda, 14 ekor arnab dan tiga  ekor burung merak, wang tunai bernilai RM18,650.00 selain dua utas jam jenama Amazfit anggaran RM600,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN