GISBH: Amirudin menghadap Sultan Selangor hari ini - Utusan Malaysia

GISBH: Amirudin menghadap Sultan Selangor hari ini

GISBH
AMIRUDIN Shari meninjau tapak pameran program Dialog Belanjawan Selangor 2025, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyembah maklum perkembangan isu Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH) hari ini.

Datuk Seri Amirudin Shari berkata, urusan berkaitan agama Islam di negeri ini secara asasnya di bawah kelolaan baginda sepenuhnya.

Menurutnya, Sultan Sharafuddin sudah pun memanggil menghadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan polis beberapa hari lalu.

“Saya juga diberikan taklimat daripada sebahagian mereka dan kita sedang mengambil langkah susulan yang agresif. Insya-Allah saya akan menghadap Tuanku hari ini. Banyak hal akan dimaklumkan dan ini juga berjumpa mingguan dengan baginda,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Sultan Sharafuddin menitahkan seluruh agensi agama Islam di Selangor bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam kesalahan jenayah disyaki berkaitan GISBH diheret ke mahkamah.

Selain itu, baginda menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam bawah kawalan syarikat berkenaan serta rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terbabit kegiatan jenayah termasuk syariah ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Titah Sultan Sharafuddin, berdasarkan laporan diterima baginda kebanyakan daripada rumah amal GISBH yang terlibat dalam siasatan telah lama beroperasi di beberapa buah negeri di negara ini khususnya di Selangor tanpa pendaftaran.

Sekolah Islam yang dikenal pasti terlibat perlu dibatalkan pendaftarannya mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

Mengulas lanjut, kata Amirudin, perubahan taktik berkaitan GISBH menjadi antara punca isu itu didakwa agak lewat untuk didedahkan.

“Berdasarkan taklimat awal dimaklumkan kepada saya selepas pendedahan kes, kebanyakkan GISBH menukar taktik dengan beralih kepada perniagaan dan ia tidak boleh dipantau sepenuhnya.

“Mereka juga mengehadkan aktiviti kepada anak beranak mereka saja dan bukannya orang lain sekali gus menyukarkan kita tahu butiran penyelewengan yang dilakukan,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara itu sedang ditangani dan wujud dua isu iaitu berkaitan dengan perlanggaran undang-undang seperti penderaan serta kesalahan syariah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya